Kafe kopi versi kereta yang unik

Makanan Chan Abdullah 19-Jul-2020
Kafe kopi versi kereta yang unik © facebook.com/Ariff-Coffee-First-Mobile-cafe-Seremban-1789139771298005/

Kopi merupakan salah satu minuman pilihan masyarakat Malaysia. Penggemar kopi tegar yang lebih berusia cenderung memilih kopi di kedai kopitiam. Manakala golongan yang lebih muda lebih gemar memilih kafe jenama antarabangsa seperti Starbucks dan The Coffee Bean & Tea Leaf.

Namun kini bagi penggemar kopi, ada satu lagi pilhan yang lebih unik untuk menikmati kopi anda. Seorang pesara tentera, Encik Mohd Ariff Saharudin telah mendapat inspirasi untuk menghasilkan kafe kopi daripada keretanya sendiri. Beliau telah mendapat ilham untuk membina kafe kopi daripada kereta semasa kunjungan beliau ke New Zealand. Di sana beliau terlihat ada kafe minuman versi kereta.

Beliau telah membelanjakan sekitar RM50,000 bagi menyiapkan kafe kopi versi kereta beliau. Kos tersebut sudah termasuk kos membaik pulih kenderaan beliau. Menurut beliau, perniagaan kafenya bukanlah sekadar mahu mencari keuntungan semata-mata. Sebaliknya, beliau mahu berkongsikan resepi kopi miliknya bersama penggemar kopi yang lain.

Secawan kopi di kafe beliau dijual bermula pada harga RM5, bergantung kepada jenis kopi. Bagi peminat kopi yang ingin mencuba keunikan suasana kafe kopi versi kereta serta keunikan kopi beliau, bolehlah berkunjung ke kafe beliau. Kafe beliau dibuka di dua lokasi pada waktu yang telah ditetapkan.

Pada hari Isnin, Selasa dan Jumaat, kafe beliau berada berhampiran Sekolah Antarabangsa Matrix Sendayan. Pada hari Khamis dan Sabtu, kafe beliau beroperasi di Ampangan. Kafe pula dibuka dari jam 7 pagi hingga 11 malam.

Sementara itu, seorang bekas pengurus ladang, Encik Mohd Fauzi Azmi, 52 tahun sanggup berhenti bidang pekerjaannya yang diceburi selama 25 tahun bagi membuka sebuah kafe versi kereta milknya sendiri. Ini adalah untuk mencapai impiannya membuka kafe kopi miliknya sendiri.

Beliau mengimpikan sebuah kafe kopi yang unik dan mampu menyerlah berbanding pesaing-pesaing yang lain. Beliau mendapati kafe kopi versi kereta adalah amat popular. Beliau mengambil keputusan menghubungi En Mohd Ariff Saharudin bagi mendapatkan khidmat nasihat sebelum mengubahsuai kereta Naza Citra yang dimiliki olehnya lebih 10 tahun untuk dijadikan cafe kopi.

Beliau membelanjakan sekitar RM20,000 untuk mengubahsuai keretanya menjadi kafe termasuk kos membeli generator dan juga mesin kopi terpakai. Proses pengubahsuaian keretanya juga mengambil masa kira-kira sebulan.

Beliau yang berada di Johor Bahru beroperasi sekitar taman perumahannya. Beliau beroperasi hampir setiap hari bermula jam empat petang. Beliau sendiri yang menghasilkan kopi untuk pelanggan. Anaknya yang berusia 19 tahun juga kini mempelajari selok belok penyediaan kopi dan pengurusan kafe darinya.

Menurut beliau walaupun berdepan risiko kewangan apabila menceburkan diri dalam perniagaan kafe kopi, beliau amat berpuas hati apabila pelanggannya dapat menikmati keenakan dan keunikan kopi segar dari kafenya.

Untuk anda yang tinggal berdekatan dengan dua orang pengusaha kafe kopi kereta ini bolehlah berkunjung ke kafe mereka. Bila lagi nak merasai keunikan kafe yang mempunyai konsep lain daripada yang lain. Sambil itu dapat juga menikmati keenakan kopi segar yang dihidangkan.