Karya dan budaya Islam pada abad pertengahan

Budaya Nur Adibah Ramly 12-Sep-2020
dreamstime_s_3087533
Perincian hebat seni bina Istana Alhambra di Granada, Sepanyol © Titelio | Dreamstime.com

Abad pertengahan adalah salah satu zaman yang paling mengagumkan bagi umat Islam berkaitan sumbangan ilmu pengetahuan. Dalam semua perbincangan mengenai sumbangan umat Islam dari segi ilmu pengetahuan yang kini dikenali sebagai Zaman Keemasan Islam, budaya yang ditunjukkan oleh umat Islam telah meninggalkan kesan yang amat mendalam.

Para sarjana Islam bertanggungjawab ke atas transformasi budaya kerana telah membuatkan orang ramai terpukau dengan seni hiasan Islam yang sangat mengagumkan. Ia secara khusus merangkumi seni bina Islam, tembikar Islam, kaligrafi Islam, seni tekstil Islam, miniatur Islam, dan sebagainya.

Sepanjang Zaman Pertengahan, karya pakar Muslim dalam seni hiasan Islam tetap mendapat permintaan tinggi di seluruh Eropah. Untuk menunjukkan betapa tingginya nilai karya yang ditonjolkan, ramai kalangan mereka yang masih bertahan sehingga kini. Sebagai contoh tekstil dan kain digunakan sebagai pakaian oleh golongan bangsawan serta jubah oleh paderi untuk gereja atau sebagai kain kafan.

Apabila dikaitkan dengan tembikar, karya-karya orang Islam adalah karya kelas pertama dan sangat terkenal dengan keunggulan yang ditonjolkan. Satu perkara yang menarik tentang pakar seni Muslim pada masa itu ialah mereka sentiasa berpegang pada beberapa prinsip Islam yang paling asas dalam karya mereka. Ia termasuklah mengamalkan sikap toleransi, kedamaian dan tunduk sepenuhnya kepada kehendak Allah SWT.

Oleh itu, mereka tidak pernah menghasilkan karya seni yang boleh dilabel sebagai ‘haram’ sedangkan karya yang mereka hasilkan juga menghormati kepercayaan  pengamal Kristian di Eropah yang memberi naungan kepada mereka. Oleh itu, banyak karya yang dihasilkan bertujuan sebagai perhiasan.

Selain itu, aspek lain hasil daripada budaya umat Islam yang menyerlah semasa Zaman Pertengahan adalah penulisan. Berdasarkan semua skrip yang digunakan pada masa itu, tulisan Arab Kufic paling mendapat perhatian. Ia juga telah digunakan secara meluas sebagai hiasan di Eropah sehingga berkembang menjadi apa yang dikenali sebagai pseudo-Kufic.

Ia disebut sebagai pseudo kerana ia merupakan karya-karya yang ditiru daripada pemikiran umat Islam yang hebat ke dalam seni Eropah. Pengkarya Eropah menggunakan istilah tulisan kaligrafi yang menjurus pada sudut dan garisan lurus seperti yang terdapat dalam hiasan dalaman seni bina Islam.

Selama kira-kira lima abad, naskah pseudo-Kufic yang diilhamkan oleh umat Islam telah mendominasi karya di seluruh Eropah di mana para adiguru dalam bidang seni sangat bergantung kepadanya. Penggunaan tulisan pseudo-Kufic juga telah dibingkaikan di gereja, pada fabrik, dan arca suci mereka. Reka bentuk yang menggunakan pseudo-Kufic ini masih dapat dilihat sehingga kini dalam karya para seniman seperti pelukis Itali, Giotto di Bondone (yang lebih dikenali sebagai Giotto).

Pengaruh umat Islam dalam kebudayaan yang ditonjolkan pada Zaman Pertengahan juga dapat dilihat seperti yang terdapat di permaidani, terutama permaidani Oriental yang terkenal di seluruh dunia. Permaidani ini berasal daripada komuniti Muslim di Mesir yang ketika itu berada di bawah Pemerintahan Mamluk atau semasa Pemerintahan Empayar Uthmaniyyah.

Muzik juga merupakan salah satu bidang di mana umat Islam pada Zaman Pertengahan telah meninggalkan kesan yang sangat besar. Contohnya, gitar yang digunakan secara meluas pada hari ini berasal daripada Oud yang merupakan alat muzik yang berbentuk seperti buah pir, seperti alat muzik Gambus dengan 11 atau 13 tali.

Hal yang sama juga berlaku pada biola yang berasal daripada alat muzik lain yang dikenali sebagai Rebec, yang dihasilkan oleh umat Islam. Untuk pengetahuan, semua sumbangan ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana Islam mendorong umatnya untuk menuntut ilmu sebagai asas keimanan mereka.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran.” (Surah Az Zumar, ayat 9)

Semoga Allah SWT sentiasa menjadikan pengetahuan kita berguna kepada kehidupan di dunia dan di akhirat, aamin.