Kasih Ibu Bapa Membawa Ke Syurga

Sahsiah Nor Syariza Tahir 25-Jul-2019

Pernahkah hati kita tiba-tiba berasa tidak tenang dan tenteram tanpa sebab-sebab yang munasabah?

Jika keadaan itu berlaku, sudahkah kita periksa bagaimana hubungan kita dengan Allah S.W.T.? Adakah kita menjaga solat dan tidak melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Nya?

Jika jawapannya adalah ya, mungkin ada satu lagi aspek yang kita abaikan; iaitu hubungan kita dengan ibu bapa.

Bagi yang tinggal berjauhan dengan ibu bapa, bilakah kali terakhir kita menghubungi mereka atau pulang ke kampung menjenguk mereka?

Adakah ketika perbualan terakhir kita bersama mereka itu kita ada mengeluarkan kata-kata yang mungkin menyinggung perasaan mereka?

Ramai daripada kita yang mengabaikan aspek ini, iaitu menjaga pertuturan dan tindak-tanduk di hadapan ibu bapa yang mungkin membuatkan mereka berkecil hati dengan kita.

Dan jika keadaan itu berlaku, tanpa kita sedari sebenarnya ia boleh memberi kesan terhadap aspek rohani dan jiwa kita.

Dalam Islam sendiri amat mementingkan mengenai kewajipan anak-anak dalam menjaga dan berbuat baik terhadap ibu bapa.

Firman Allah S.W.T. dalam surah Al-Isra, ayat 23 yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Ayat ini jelas melarang kita bersikap kasar dengan ibu bapa, walaupun sekadar perkataan “Ha” atau mendengus, apatah lagi menengking mereka.

Ini kerana ibu bapa merupakan insan mulia yang telah menjaga kita sejak kulit kita masih merah iaitu ketika bayi, sehingga kita membesar dan menjadi seorang insan yang berjaya dalam kehidupan.

Walau dalam apa jua keadaan, ibu bapa tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepada kita dan setiasa berusaha untuk memenuhi permintaan kita walaupun terpaksa mengabaikan kehendak mereka sendiri.

Apalah sangat kiranya jika kita membelanjakan sedikit wang gaji kita untuk membawa mereka menikmati makanan yang enak, bercuti atau membelikan mereka apa-apa sahaja yang mereka inginkan.

Amat sedih sekali apabila melihat ada anak-anak pada masa kini yang menjalani kehidupan yang senang dan mewah bersama isteri dan anak-anak, namun mereka mengabaikan ibu bapa di kampung yang masih perlu ‘mencatu’ makan malam dan membanting tulang empat kerat yang sudah semakin reput ditelan usia demi mencari sesuap nasi.

Lebih menyayat hati, ada ibu bapa yang terpaksa ‘mengemis’ daripada anak-anak sendiri untuk membantu mereka meringankan beban yang ditanggung, namun si anak tidak dapat menghulurkan pertolongan disebabkan pelbagai alasan.

Situasi-situasi seperti inilah yang selalunya akan mengakibatkan si anak mengalami keadaan-keadaan getir yang tidak dapat dijelaskan dengan pemikiran rasional seperti perasaan gelisah dan hati yang tidak tenteram atau mengalami kegagalan dalam apa-apa pekerjaan yang dilakukan.

Disebabkan itulah, orang sering berkata bahawa kasih ibu bapa itu membawa ke syurga kerana ia mampu memimpin kita untuk menuju ke syurga atau mengheret kita ke gaung neraka, berdasarkan layanan kita terhadap mereka.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.” – HR al-Hakim (7263).

Justeru itu, janganlah kita menjadi anak yang derhaka kepada ibu bapa.

Jagalah hubungan kita dengan ibu bapa kerana dengan itu, Allah akan menjaga dan mempermudahkan urusan harian kita.

Semoga kita menjadi anak yang bertanggungjawab dan mendapat restu daripada ibu bapa, kerana hanya dengan restu itulah, hidup kita akan dilimpahi dengan keberkatan.

Foto: Emma Bauso, Kat Jayne, Matthias Zomer & Tristan Le (Pexels)