Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Kasih sayang dan hikmahnya

Masyarakat 18 Jan 2021
Terkini oleh Hanita Hassan
Kasih sayang dan hikmahnya
Kasih sayang dan hikmahnya © Bunlue Nantaprom | Dreamstime.com

Atas sifat kasih sayang dan cinta, pasangan kekasih sanggup melakukan apa sahaja.  Seperti kata pantun Melayu ini:

“Nasi lemak buah bidara,

sayang selasih hamba lurutkan,

hilang emak hilang saudara,

kerana kasih hamba turutkan.” 

Kasih sayang dan hikmahnya

Masih ingatkah anda akan pantun empat kerat yang sering didendangkan apabila pasangan sedang bercinta.  Begitulah kiasan pantun Melayu yang sedap didengar di telinga apatah lagi apabila kita mengkaji kepada maknanya.

Seorang anak sanggup meninggalkan ibu atau saudaranya semata-mata kerana seorang kekasih.  Itulah pukulan daripada nikmat cinta dan berkasih sayang. Kasih sayang dan cinta adalah fitrah yang dikurniakan Allah SWT, yang dicipta dalam diri setiap manusia sejak lahir.

Ia adalah manifestasi daripada sifat Allah SWT iaitu al-Rahman yang bererti Yang Maha Pengasih.  Nikmat kasih sayang ini membolehkan kita hidup tenang, sejahtera dan harmoni.  Kita dapat menghirup udara segar setiap hari tanpa perlu membayarnya.  Semuanya atas ihsan Allah.

Islam menganjurkan kita agar mengasihi diri sendiri dan memberi kasih sayang kepada orang sekeliling kerana ia adalah ibadah. Namun fitrah berkasih sayang ini usah sampai memudaratkan sehingga memutuskan silaturahim. Dalam Islam fitrah sedemikian mestilah disalur mengikut jalan yang telah ditetapkan oleh syarak.

Seorang ibu sanggup berkorban apa sahaja untuk anak-anaknya dan bapa bekerja keras mencari nafkah menyara kehidupan keluarga. Seorang guru bersungguh-sungguh menyebarkan ilmu kepada murid, seorang pemimpin sanggup berbuat apa sahaja demi kesejahteraan rakyat dan begitulah seterusnya.

Inilah nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepada kita untuk dihargai dan dikongsi bersama orang lain. Rasulullah SAW menerangkan perihal kasih sayang orang beriman dengan sabdanya:

“Perumpamaan seseorang Mukmin sesama Mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama satu badan. Apabila ada salah satu anggota badan yang menanggung kesakitan, maka seluruh empat badannya akan turut terjaga (tidak akan tidur) dan terasa panas (merasakan sakitnya).”

(Hadis riwayat Imam Muslim)

Hubungan manusia dengan Allah SWT

Perhubungan suci sesama manusia berkait langsung dengan hubungan manusia dengan Allah SWT. Apabila manusia mempunyai hubungan yang baik dengan Maha Pencipta, maka baik juga hubungan sesama manusia.

Nilai kasih sayang yang ada dalam diri kita sebagai pencetus kepada seluruh aura baik yang terhasil daripada tindakan atau cara kita berfikir. Sebaliknya orang yang hatinya gersang, kasih sayang tidak ada nilai baginya.

Jika anak anda seorang yang bermasalah, jangan sekali-kali anda membencinya. Bantulah dia melalui pendekatan kasih sayang, memberi pujian dan penghargaan, nasihat sehingga terbuka hati menerima teguran anda sebagai seorang ibu.

Jika suami anda tidak solat di awal waktu, jangan disindir sehingga menimbulkan perasaan benci dalam dirinya. Sebaliknya dekatilah dia penuh hikmah dan berkasih sayang kerana ia lebih memberi kesan.

Justeru marilah kita menguatkan nilai kasih sayang dalam diri dan berkongsi dengan orang lain. Seperti kata pepatah, siapa yang tidak menyayangi maka dia tidak layak disayangi.

Sesungguhnya kasih sayang boleh mengukuhkan ikatan persaudaraan, membina sebuah tamadun dan membangunkan negara bangsa yang bukan sahaja tenteram, aman malahan harmoni. Kasih sayang adalah kunci kepada ejen perubahan yang sangat berkesan dalam semua hal.