Kasihi dan hargai orang tersayang

Hargai orang tersayang © Eptian Savero Fitrahnsa | Dreamstime.com

Hidup adalah perjalanan yang cukup singkat.  Pada penghujung hari, kita semua akan kembali ke negeri abadi yang digelar akhirat.  Allah SWT menjadikan setiap makhluk di dunia ini berpasang-pasangan.  Kita diberikan jodoh sebagai teman hidup, berkongsi kasih sayang dan menjadi sahabat karib ketika susah mahupun senang.

Tolak ansur adalah paling utama dalam anda melayari bahtera berumah tangga.   Tidak kira betapa penat anda sebagai suami di tempat kerja, apabila pulang ke rumah, sapalah isteri dengan senyum dan pelukan mesra.  Sehari suntuk isteri anda  mengurus anak-anak dan memastikan semua kerja rumah dapat disiapkan sehingga melupakan keinginan sendiri.

Sekiranya isteri anda juga bekerja, hendaklah pasangan anda bersama-sama mengurus rumah.  Jadual harian perlu diatur supaya anda tahu bila perlu masuk ke dapur memasak dan mengemas rumah, melihat kerja sekolah anak-anak, melipat baju-baju yang sudah siap dicuci dan sebagainya.

Biasanya isteri bekerja lebih banyak melakukan kerja rumah berbanding  suami walaupun kedua-dua anda bekerja. Justeru, sekiranya anda berkemampuan menggajikan seorang pembantu untuk meringankan beban isteri, itu amat baik. Sebaliknya jika  tidak mampu, anda suami isteri perlu bekerjasama menjadikan rumah tangga tenang, penuh cinta dan kasih sayang mengikut konsep Sakinah Mawaddah Warahmah.

Dalam hadis yang diriwayatkan daripada al-Aswad RA, beliau bertanya kepada Saidatina Aishah RA: “Apakah yang Nabi lakukan ketika berada bersama keluarganya?” Aishah menjawab: “Rasulullah SAW biasa membantu pekerjaan keluarganya di rumah. Jika tiba waktu solat, baginda berdiri dan segera menuju solat.” (Hadis Riwayat Bukhari).

Banyak cara boleh dilakukan untuk menghargai pasangan. Tindak tanduk anda seperti layanan fizikal dan emosi, pemikiran mahupun spiritual akan menentukan kebahagiaan. Pasangan anda umpama cerminan diri. Sayangilah dia, sama seperti anda menyayangi diri sendiri.  Jujur adalah perkara yang paling penting dalam setiap hubungan.  Tidak berterus terang akan hanya mencetus pergaduhan dan punca kepada perpisahan.

Islam menuntut supaya setiap pasangan membina  keluarga yang harmoni dan sejahtera.  Institusi kekeluargaan adalah asas pembangunan sesebuah masyarakat, negeri dan negara yang maju lagi dihormati.  Keluarga ialah tempat kita dibesarkan, diasuh dan dididik sebelum menjalani kehidupan bermasyarakat.

Satu perkara yang harus diambil kira ialah kita tidak boleh lari daripada konflik dalam berkeluarga.  Ia adalah lumrah yang boleh difahami dengan mudah menerusi lagu yang malar segar, Sedangkan Lidah Lagi Tergigit. Lagu dan lirik ciptaan almarhum P. Ramlee, seniman negara terulung kita berbunyi: “Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Baru teguh peribadi.”

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala diperintahkan.” (Surah At-Tahrim, ayat 6)

Sekiranya  kita dapat mengurus masalah dalam rumah dengan baik, kita boleh lakukan apa sahaja untuk kekal berjaya dalam hidup. Apa yang perlu difahami, agama Islam menganjurkan umatnya memelihara dan membina rumah tangga berasaskan nilai-nilai murni sebagaimana rumahtangga Rasulullah SAW.  Ini kerana rumah tangga yang bahagia dan sempurna akan mampu membina seorang suami, isteri, ibu, bapa dan anak-anak yang beradab, berilmu dan berkualiti.