Ke mana hala tuju selepas Ramadan?

Psikologi Aimy Azhary
Pendapat oleh Aimy Azhary
Ke mana hala tuju selepas Ramadan?
Ke mana hala tuju selepas Ramadan? © Konstantin Shishkin | Dreamstime.com

Sebahagian masyarakat Islam sering memandang mudah kepada matlamat dan hala tuju selepas Ramadan. Mereka menganggap pengakhiran bulan Ramadan menandakan seluruh penat lelahnya beribadah juga telah berakhir.

Sabda Nabi Muhammad SAW:

 “Boleh jadi orang yang berpuasa itu tidak mendapat apa-apa daripada puasanya melainkan lapar dan boleh jadi orang yang berqiyam itu tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya melainkan hanya berjaga malam.”

(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Hala tuju selepas Ramadan

Tanggapan ini hendaklah diperbaiki dengan penuh rasa insaf kerana kita beribadah bukan kerana Ramadan. Dan tuhan Ramadan adalah tuhan yang sama kepada bulan-bulan berikutnya. Sebaliknya, Ramadan hendaklah dianggap sebagai butang ‘restart’ kepada komputer iman kita yang sedang ‘freeze’.

Bulan Ramadan bukanlah semata-mata waktu mustajab doa, tapi lebih penting sebagai batu loncatan untuk kita memulakan nafas baru dalam membudayakan gaya hidup mukmin yang ideal sepanjang 11 bulan berikutnya. Oleh yang demikian, mukmin yang kompeten adalah mukmin yang meletakkan hala tuju selepas Ramadan.

Bagi menetapkan hala tuju selepas Ramadan, kita perlu menanyakan diri kita sendiri tentang dua soalan berikut:

  1. Adakah kita mempunyai matlamat selepas Ramadan?
  2. Sekiranya ada, apakah strategi dan perancangan kita untuk merealisasikan matlamat tersebut?

Kedua-dua soalan ini perlu difikirkan masak-masak oleh kita supaya perjalanan kehidupan kita pada 11 bulan berikutnya adalah sepertimana yang diharapkan.

Matlamat dan strategi selepas Ramadan

Matlamat utama selepas Ramadan tidak lain adalah meneruskan rutin-rutin Ramadan seperti berpuasa, membaca al-Quran, bangun malam dan sebagainya. Kesannya, kita dapat membentuk sebuah kehidupan yang dipenuhi perkara yang berfaedah kepada rohani dan jasmani.

Dari sudut strategi pula, kita harus menyusun amalan-amalan yang ingin diteruskan itu dengan baik. Setiap muslim lebih mengenal tentang rutin kehidupannya daripada orang lain.

Jadual waktu harian seorang pelajar pasti berbeza dengan seorang yang bekerja, begitu juga dengan seorang suri rumah. Walau bagaimanapun, perbezaan status ini bukanlah halangan untuk kita menyusun temu janji dan waktu peribadi kita dengan Allah Taala.

Sebagai contoh, membaca satu muka surat al-Quran boleh dilakukan setiap kali selepas solat yang hanya memerlukan sekitar 3 minit sahaja. Bangun malam pula boleh dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali serta bersedekah pada hari jumaat dan lain-lain lagi.

Hikmah Puasa Enam

Puasa enam hari ketika Syawal merupakan amalan yang amat digalakkan dalam Islam sesuai dengan sabda Nabi Muhammad SAW:

“Siapa yang berpuasa Ramadan kemudian diiringinya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka yang demikian itu seolah-olah berpuasa satu tahun.”

(Hadis riwayat Muslim)

Antara hikmah puasa enam ialah supaya seseorang muslim meneruskan rutin beribadah pada bulan Ramadan. Rutin-rutin baik ini hendaklah diteruskan seusai bulan tersebut tanpa bertangguh.

Penangguhan dalam tempoh yang lama pasti akan menyebabkan amalan tersebut terbantut. Akhirnya, kita akan merasa lebih sukar dan sulit untuk melangsungkan amalan biasa kita pada bulan Ramadan.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.