Keajaiban This is Misha.. ‘Live’ at DFP

Isnin lalu pada tanggal 5 Ogos 2019 lewat jam 8.30 malam, Dewan Filharmonik Petronas gah bergema dengan lantunan suara salah seorang lagi vokalis terbaik Malaysia, Misha Omar, kala memulakan konsert khasnya yang diberi nama “This is Misha – Live at DFP.”

Membuka acara dengan medley lagu ‘Cinta Adam dan Hawa’ serta ‘Sembunyi’, pemilik nama sebenar Samiha @Aisah Omar itu sekali lagi membuktikan kepada para penonton yang hadir, mengapa dirinya wajar diberikan peluang untuk berpanggung di pentas berprestij tersebut.

Setelah 17 tahun memahat nama sebagai seorang penyanyi, jelas terbukti bahawa segala pengalaman yang diraih sepanjang tempoh yang lama itu berjaya dirumuskan menjadi sebuah persembahan luar biasa biarpun hanya diberi kesempatan sejam untuk menghiburkan para peminatnya.

Namun, Misha sama sekali tidak menghampakan mereka yang hadir. Diiringi sebuah kugiran yang dipimpin oleh pengarah muzik tersohor negara, Dato Ramli M.S. , penyanyi jelita yang berasal dari Kelantan itu membawa para peminatnya dalam sebuah perjalanan irama yang menyingkap pengembaraannya sepanjang bergelar anak seni.

Meneruskan malam dengan lagu yang membawanya kembali ke dunia seni suara selesai berehat selepas  melahirkan anaknya, Muhammad Idris Ezzwa tahun lalu, ‘Sampai Bila’ disambut meriah oleh para penonton yang hadir dengan tepukan gemuruh serta laungan suara yang memang sudah ditunggu-tunggu mereka. Lagu yang berjaya dinobatkan tempat ketiga di Anugerah Juara Lagu (AJL) Februari lalu turut melayakkan Misha menerima Anugerah Vokal Terbaik di acara yang sama.

 

 

Memang terkenal dengan balada-balada hebat yang pernah dihasilkan oleh komposer-komposer ternama Malaysia, Misha meneruskan momentum malam itu dengan mendendangkan dua buah lagu yang pernah menjadi runut bunyi filem seram ‘Pontianak Harum Sundal Malam 1 & 2’ , iaitu ‘Pulangkan’ dan ‘Ku Seru’ secara medley.

Lebih menyenangkan, Misha bukan sahaja mampu memukau penonton dengan kemerduan suaranya, tetapi dia juga bijak berceloteh dan berjenaka dengan para penonton yang hadir di antara persembahan lagu-lagunya pada malam itu.

Penonton kelihatan sungguh gembira bergelak-ketawa mendengar kisah-kisahnya yang dikongsikan sepanjang kerjayanya sebagai penghibur.

“Itu memang saya yang sebenar. Apa yang peminat saya lihat di laman Instagram saya, itulah saya yang ditonjolkan sepanjang konsert,” jelas Misha ketika ditemui di sidang media selesai persembahan.

Walau bagaimanapun, di sebalik setiap senyuman dan hilai tawa yang memenuhi dewan pada malam itu, Misha mengakui bahawa sudah tentu ada saat-saat penuh emosi setiap kali dia teringat jatuh bangunnya sebagai seorang artis.

Malah, ketika bertemu media, penyanyi itu mudah sekali berasa sebak dan hendak menitiskan air mata tika berbicara perihal peribadi.

Menurutnya, pengalaman untuk mengadakan konsert sendiri di sebuah panggung yang begitu hebat adalah satu kurniaan yang besar dan memang merupakan salah satu impiannya sebagai seorang seniman.  Apatah lagi, Misha berasa sangat bersyukur kerana masih dapat diterima oleh segenap pencinta muzik, sungguhpun sudah lama tidak muncul dengan buah tangan terbaru buat para peminatnya.

Konsert malam itu diteruskan dengan lagu-lagu hebat yang lain seperti ‘Nafas Cahaya’, ‘Jawapanmu’, ‘Dedebu Cinta’ serta ‘Semoga Abadi’.

Misha juga membuat satu kejutan istimewa kala menyampaikan lagu ‘Riwayat Cinta’ yang diberikan nafas baru oleh Dato Ramli M.S. Lagu tersebut yang pada asalnya dirancang untuk dinyanyikan lebih awal, dibawa ke bahagian hujung konsert apabila beliau dan pengarah muziknya menyedari bahawa terdapat sesuatu yang menarik untuk ditonjolkan lewat versi khas itu yang menyaksikan vokal hebat Misha diiringi irama piano polos Dato Ramli M.S

Ketara kelihatan, para peminat benar-benar terpukau dengan kehebatan suara Misha yang mengukuhkan kedudukannya sebagai pemegang Anugerah Vokal Terbaik di acara AJL yang lalu.

Dan semestinya untuk menutup tirai konsert malam tersebut, lagu ‘Bunga-Bunga Cinta’ yang melonjakkan nama Misha Omar dalam industri muzik tanah air, secara automatik mengundang suara latar belakang kesemua penonton segenap dewan. Jelas ternyata, Misha Omar masih berbisa dan nampaknya bakal kekal bertahan untuk tempoh yang lama.

Syabas serta tahniah kami ucapkan kepada Misha kerana berjaya menghiburkan para peminatnya pada malam tersebut biarpun tempoh yang diberikan agak pendek, namun kami benar-benar terhibur. Dan kami sama sekali tidak hairan kesemua tiket konsert ini habis dijual dalam masa hanya 16 jam selepas konsert diumumkan beberapa bulan yang lalu.

Semoga karya seterusnya akan lebih hebat lagi daripada apa yang sudah dikongsikan selama ini. Kami semua menanti dengan penuh rasa teruja! And yes we believe that This is Misha..! 

 

Gambar ihsan pihak Dewan Filharmonik Orkestra . (Terima Kasih Encik Harry Jalil)