Keamanan yang dicari dalam diri kita

Sahsiah Hagnas 07-Sep-2020
dreamstime_s_150935039
Keamanan yang dicari dalam diri kita © Tanes Ngamsom | Dreamstime.com

Aman adalah cita-cita semua sejak zaman berzaman. Sejarah dunia yang panjang telah menyaksikan pelbagai peristiwa yang berlaku berkaitan dengan soal keamanan manusia sejagat. Maka usaha untuk mewujudkan serta memelihara keamanan adalah sesuatu yang sangat mulia dan wajar disokong, ditambah-baik serta diteruskan.

Kita ingin dan perlukan keamanan dalam diri, keluarga, masyarakat dan seluruh dunia. Sebagai seorang insan mulakanlah usaha membentuk keamanan dalam diri kita. Keamanan dalam diri tidak mungkin tercapai sekiranya mereka yang berada dekat di sekeliling kita tidak turut mengecap keamanan yang kita inginkan.

Tidak wajar malahan mustahil bagi seorang suami mencapai keamanan sekiranya isteri atau anak-anaknya tidak tenteram, hilang rasa selamat dan aman, untuk tinggal bersamanya. Ini mungkin berlaku apabila si suami tidak menunaikan kewajipannya, curang dan sebagainya.

Seorang yang aman dan bahagia tentunya dan selalunya datang  dari keluarga yang aman dan bahagia, saling gembira berinteraksi dan membantu antara satu sama lain. Kepentingan untuk mencapai keamanan dan ketenangan dalam diri dan keluarga digambarkan dalam ayat al-Quran ayat 74, surah al-Furqan yang bermaksud:

“Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertakwa.”

Allah SWT mengajarkan kepada kita untuk berdoa kepada-Nya agar dikurniakan ahli keluarga yang menyukakan hati kita, tenang lagi tenteram.

Umat Islam sangat dituntut untuk memelihara keamanan dan keselamatan dalam masyarakat. Sebarang aktiviti yang boleh mengundang kekecohan ditegah dalam Islam seperti mengumpat, mengeji apalagi menghina dan membunuh orang yang tidak bersalah lagi berdosa.

Lihat sahaja sirah Nabi Muhammad SAW yang tercinta, bagaimana Baginda telah menyatukan suku Aus dan Khazraj, yang sebelum itu sering bertelingkah antara satu sama lain. Baginda Rasulullah juga mempersaudarakan antara kaum Ansar dan Muhajirin sehingga mereka sering membantu antara satu sama lain untuk mewujudkan keamanan seterusnya membangunkan masyarakat Islam di Madinah.