Kebaikan amalan tersembunyi kita

Amalan tersembunyi besar pahalanya © Distinctiveimages | Dreamstime.com

Setiap daripada insan yang terlahir ke dunia ini tidak sama dari segi kedudukan dalam masyarakat. Perbezaan yang ketara yang boleh diukur ialah melalui banyak atau sedikitnya harta, tinggi atau rendah pangkat dan jawatan serta keturunan.

Islam sangat menggalakkan setiap umatnya melakukan amalan baik dalam hidup tidak kira apa keturunan kita.  Ada amalan yang boleh kita uar-uar dan ada amalan yang kita perlu sembunyikan.

Imam Bukhari r.a meriwayatkan antara tujuh golongan yang akan mendapat naungan Allah SWT yang pada waktu itu tidak ada naungan selain naungan Allah ialah:  “Seseorang yang memberikan sesuatu derma secara diam-diam, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang didermakan oleh tangan kanannya.”

Begitu juga dengan pendapat Ibn Kathir r.a bahawa bersedekah secara sembunyi lebih afdal.  Mereka yang bersedekah akan mendapat naungan Allah SWT di akhirat kelak. Betapa besarnya ganjaran pahala bagi anda yang bersedekah dan berinfak ke jalan Allah.  Inilah amalan tersembunyi yang kita buat dan mendapat keredaan-Nya.

Imam Ahmad r.a meriwayatkan daripada Abu Umamah, bahawa Abu Zar bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah SAW!  Apakah sedekah yang paling baik?  Baginda menjawab:  Sedekah kepada orang fakir secara senyap-senyap atau derma daripada orang yang serba kekurangan.”

Para mufasir juga ada yang berpendapat, sedekah sunat lebih afdal disembunyikan pemberiannya manakala zakat wajib lebih afdal dizahirkan.  Bagi mereka, sedekah secara sembunyi itu lebih afdal kerana terpelihara maruah penerima miskin yang malu dengan kemiskinannya serta orang yang bersedekah terhindar daripada sifat bangga diri.

Selain amalan sedekah, kita juga boleh mendoakan kebaikan kepada orang lain dalam keadaan orang yang didoakan tidak mengetahuinya. Ia adalah amalan mulia untuk mendidik kita tidak mementingkan diri.

Daripada Abu Darda’, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Doa seorang muslim kepada saudara muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima) di sisi kepalanya malaikat yang diutus Allah SWT setiap kali dia mendoakan saudara muslimnya dengan doa yang baik dan berkatalah malaikat itu, amin!  Engkau juga beroleh manfaat yang sama.”  (Hadis riwayat Muslim)

Dalam riwayat lain turut menyatakan bahawa doa yang paling cepat dimakbulkan Allah SWT ialah doa secara ghaib yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakan.

Doa adalah senjata ampuh buat orang beriman.  Justeru setiap kali memohon doa, ingatlah untuk mendoakan kebaikan kepada orang lain. Anak mendoakan kesejahteraan ibu bapa, suami mendoakan isteri dan anak-anak, guru mendoakan anak didiknya, majikan mendoakan kesejahteraan pekerjanya.  Begitulah yang sebaiknya.

Berzikir juga adalah amalan yang dilakukan tanpa perlu dipamerkan kepada orang lain.  Zikir adalah amalan yang ringan di mulut tetapi ganjaran pahalanya sangat besar. Amalkan zikir ‘Subhanallahi wabihamdih subhanallahil ‘Azim’ kerana zikir ini boleh memberatkan timbangan amalan kebaikan kita.

Banyak lagi amalan lain yang boleh dilakukan seperti tahjud, solat malam, memberi makan kepada orang dan haiwan, mengalihkan benda tajam di jalan raya, menanam pokok dan sebagainya.  Paling penting niat kita kerana Allah SWT.

Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mana-mana orang Islam yang bercucuk tanam kemudian dimakan daripadanya burung, manusia atau binatang tiada yang lain kecuali baginya sebagai sedekah.” (HR al-Bukhari)