Kebaikan dan keindahan sabar dalam diri

Sahsiah Hanita Hassan 25-Ogo-2020
Keindahan suatu kesabaran © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Perjalanan hidup ini umpama sebuah kenderaan yang dipandu pada malam hari.  Kita hanya nampak apa yang disuluh oleh lampu kenderaan beberapa meter di hadapan.  Selebihnya hanya akan diketahui apabila kita melewati jalan tersebut.

Apa yang bakal berlaku pada masa hadapan itu adalah garis takdir yang telah ditentukan oleh Allah SWT.  Sepertimana firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan Dia lah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu lalu menentukan keadaan makhluk-makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.” (Surah al-Furqan, ayat 2)

Hanya Allah SWT yang mempunyai kehendak, ketetapan dan keputusan ke atas semua makhluk-Nya termasuklah sesuatu yang meliputi semua kejadian yang menimpa makhluk.

Ada kalangan kita yang dianugerahi dengan kehidupan yang mewah.  Namun  dalam masa yang sama diuji hidupnya dengan pelbagai dugaan sehingga berasakan tidak pernah mengecapi bahagia.  Contohnya tidak mempunyai anak atau mengidap penyakit berbahaya dan sebagainya.

Tidak kurang juga yang hidup susah, perniagaan tidak menjadi, ditipu oleh sahabat sendiri atau kehilangan orang yang disayangi, sehingga menyalahkan takdir terhadap apa yang berlaku, mengeluh dan tidak bangkit untuk meneruskan kehidupan ini.

Kita dilatih untuk bersabar sejak kecil lagi. Kita bersabar menggunakan kedua belah kaki untuk berjalan dan berlari.  Kita bersabar untuk menggunakan jari-jemari untuk makan, mulut untuk mula bercakap dan sebagainya.

Apabila kita meningkat dewasa, kita lupa dengan pegangan asas yang diajar  sehingga tidak mampu menghadapi ujian-ujian Allah SWT dengan baik sebagai seorang hamba-Nya.

Sabar adalah akhlak yang nyata dan jelas diperkatakan di dalam al-Quran.  Sabar bererti menahan diri.  Sifat berlawannya ialah mengeluh dan menyalahkan orang lain. Kita disuruh bersabar kerana di dalamnya mengandungi banyak nilai tinggi dan utama di sisi agama dan budi pekerti.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Akan tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang-orang yang sabar.  Bersabarlah (hai Muhammad) dan tiadalah kesabaranmu itu melainkan dengan pertolongan Allah.” (Surah al-Nahl, ayat 126 – 127)

Sabar bukannya sifat sampingan yang perlu dipilih tetapi kemestian bagi mengangkat darjat agama dan akhlak diri sendiri. Agama tidak akan mencapai kemenangan dan dunia tidak akan aman serta cita-cita tidak terhasil jika tanpa sifat sabar.

Rasulullah SAW pernah menjelaskan bahawa kehebatan orang yang beriman adalah kerana mereka sentiasa bersyukur dan bersabar dalam menghadapi urusan kehidupan dunia.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Sungguh menakjubkan urusan seorang Mukmin.  Segala perkara yang dialaminya sangat menakjubkan.  Setiap takdir yang ditetapkan Allah SWT bagi dirinya adalah kebaikan.  Apabila kebaikan dialaminya, maka dia bersyukur dan hal itu merupakan kebaikan baginya.  Dan apabila keburukan menimpanya, dia bersabar dan hal itu merupakan kebaikan baginya.”  (Hadis riwayat Muslim)

Walau sebesar mana sekalipun ujian dan masalah hidup, usah terburu-buru mengambil langkah berlawanan dengan kehendak agama.  Bersangka baik dengan apa yang dikurniakan Allah SWT.  Sabar adalah ujian untuk melihat sekuat mana keimanan kita terhadap-Nya.  Jadilah seperti lebah yang sentiasa memberi manfaat kepada makluk-Nya dan melihat semua perkara dalam kaca mata yang baik.

Sesungguhnya iman itu meliputi sifat sabar, maka pertingkatkan sabar dalam diri agar dapat kita mempertingkatkan keimanan ke hadrat Allah SWT.