Kebaikan meluahkan perasaan

dreamstime_s_160557741
Kebaikan meluahkan perasaan © Rachaphak Kitbumrung | Dreamstime.com

Sebagai umat Islam, kita hendaklah melakukan apa sahaja untuk perbaiki diri. Kita mungkin sering mengelak daripada meluah perasaan dengan orang yang kita sayang walaupun banyak faedahnya.

Kesanggupan kita meluah perasaan dan berkongsi apa yang ada dalam fikiran dapat mengubah emosi dan cara hidup dengan ketara. Menjaga kesihatan fizikal adalah penting, namun penjagaan kesihatan mental juga tidak kurang pentingnya.

Belajar lebih banyak tentang diri

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.”

(Surah al-Baqarah, ayat 195)

Meluahkan perasaan dapat membantu kita belajar lebih banyak tentang diri dan memahami perasaan yang terpendam yang biasanya tidak kita luahkan. Melalui luahan perasaan membantu kita memahami  lebih banyak tentang perasaan kita sendiri dan bagaimana kita perlu mengubahnya.

Sebagai contoh, jika emosi kita terganggu, meluahkan perasaan kepada pasangan boleh membantu menangani masalah, apabila mereka mengajukan  pertanyaan  akan membuka ruang seterusnya memberi jalan untuk kita meluahkan perasaan.

Meluahkan perasaan kepada rakan-rakan dan ahli keluarga terdekat tentang fikiran dan perasaan kita juga dapat meredakan perasaan. Meskipun kadang kala bersendiri itu boleh membantu, meluangkan masa dengan orang sekeliling juga dapat menaikkan semangat dan cara terbaik menceriakan hari kita.

Apabila kita bercakap dengan seseorang, kita juga berpeluang mendengar luahan perasaan mereka. Mungkin mereka turut mengalami keadaan yang sama sepertimana kita atau boleh memberi nasihat yang berguna kepada kita.

Membantu mengeratkan hubungan

Meluahkan perasaan kepada pasangan atau keluarga juga dapat membantu mengeratkan hubungan dengan mereka. Apabila kita terlibat dalam perbincangan seperti ini, kita akan berasa lebih dekat  dan begitu juga sebaliknya.

Kepercayaan dapat dibina dan membuka peluang kepada ahli keluarga lain untuk berkongsi perasaan masing-masing. Mungkin mereka juga sedang bergelut dengan masalah dan tidak pasti dengan siapa yang harus mereka kongsi, maka kesempatan ini  membuka peluang kepada mereka untuk meluahkan perasaan dan berkongsi masalah.

Kita perlu tanamkan dalam diri sekiranya kita berasa tenang apabila meluahkan perasaan dengan ahli keluarga  atau dapat memperbaiki hubungan dengan mereka, maka perkara  seperti ini hanya berlaku dengan izin Allah SWT.

Ingatlah bahawa Allah Maha Menguasai ke atas segala sesuatu. Kita juga mesti sentiasa ingat untuk meletakkan kepercayaan  dan bergantung sepenuhnya kepada Allah SWT. Firman Allah dalam al-Quran yang bermaksud:

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar. Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya, Dan barang siapa yang bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu.”

(Surah ath-Thalaaq, ayat 2-3)