Kebajikan terbesar – membantu anak yatim, ibu tunggal

Kepercayaan Abu Muaz 25-Jul-2020
Membantu anak-anak yatim satu kebajikan terbesar © Stanislav Komogorov | Dreamstime.com

Bersedekah merupakan amalan kemuncak yang tertinggi pahalanya. Ia menjelaskan sifat belas kasihan individu dan menzahirkan budaya sunnah dalam Islam. Sifat suka memberi sangat dipandang tinggi oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Rasulullah SAW amat menghargai golongan yang sanggup menanggung amanah menjaga anak-anak yatim dan ibu tunggal. Baginda mengingatkan bahawa golongan sebeginilah yang tersenarai sebagai ahli syurga. (Mafhum hadis oleh Imam Bukhari)

Malah Baginda sendiri merupakan seorang anak yatim piatu dan Allah SWT telah memilihnya sebagai ejen pengubah masyarakat terulung di dunia. Justeru itu, kita adalah kelompok yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga mereka dari sebarang bentuk penderitaan.

Bantuan penajaan ke atas golongan anak yatim dan ibu tunggal merupakan salah satu kaedah terbaik dalam bersedekah. Membantu kelompok yang lemah dan tertindas dalam masyarakat pastinya ia suatu kemuliaan. Seluruh umat Islam haruslah saling melindungi antara satu sama lain, maka setiap kali kita menemui anak-anak yatim dan ibu tunggal wajarlah kita sedaya upaya membantu mereka sepenuhnya.

Firman Allah SWT: “Mereka memberi makan  dari jenis-jenis makanan yang dihajati dan disukainya, kepada golongan miskin dan anak yatim serta orang tawanan.” (Surah Al-Insaan, ayat 8)

Kehilangan orang yang tersayang walau apapun usia mereka pastinya ia suatu trauma yang menyakitkan bagi setiap individu. Di seluruh dunia, terdapat ribuan anak-anak yatim yang tinggal di rumah-rumah jagaan. Malah ada juga yang dibiarkan kelaparan dan  tiada tempat berteduh.

Penajaan di sini bermaksud menyediakan semua keperluan asas secukupnya yang dapat membantu mereka agar boleh berdikari. Terdapat pelbagai cara, untuk bantu menaja anak yatim dan ibu tunggal. Antaranya memberikan makanan, menguruskan pendidikan dan menawarkan bantuan bagi memudahkan mereka mencari nafkah menyara diri.

Berbanding agama lain, Islam mempromosikan kesaksamaan. Islam menolak konsep rasis atau memilih-milih dalam membantu dengan menawarkan sistem di mana setiap umat Islam dapat menjadi penyumbang kepada seluruh peringkat masyarakat. Umat ​​Islam hendaklah membantu dan mempermudahkan urusan kehidupan anak-anak yatim dan ibu tunggal, sekurang-kurangnya bagi memastikan keadaan kesihatan mereka  pada tahap minimum.

Majoriti anak yatim dieksploitasi dengan dijadikan buruh paksa malah harta pusaka mereka pula diambil-alih. Manakala ibu-ibu tunggal pula seolah-olah dizalimi dengan mengurung mereka di rumah. Menaja mereka membolehkan kita membantu mereka secara emosi dan material. Ia suatu mesej yang positif, dapat menjauhkan diri mereka dari kata-kata negatif masyarakat serta bebanan kehidupan.

Buruh paksa adalah cara yang biasa digunakan untuk mengeksploitasi ibu tunggal dan anak yatim. Ia suatu fenomena yang berlaku di seluruh dunia setiap hari. Hanya golongan beriman sahaja yang dapat menolong mereka melarikan diri dari bentuk perhambaan moden ini dengan melunaskan hutang mereka, membebaskan mereka dari pusingan hutang kekal dan perhambaan.

Nabi Muhammad  SAW bersabda, “Saya bersama orang-orang yang menaja anak yatim akan berada di syurga seperti kedua orang ini – dan Baginda memberi isyarat dengan jari telunjuk dan jari tengahnya dan menjarakkan kedua jarinya.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari, no. 5304)

Islam bersedia dengan segala cara. Ia mempunyai cara memenuhi keperluan golongan miskin dan kaya. Sesungguhnya ia suatu sistem yang lengkap. Setiap orang beroleh keuntungan dan kita dapat menyertainya tanpa perlu kepada harta yang banyak.