Kebangkitan dan kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah – satu ringkasan

Sejarah 18 Apr 2021 Hanita Hassan
Terkini oleh Hanita Hassan
Kebangkitan dan kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah - satu ringkasan
Kebangkitan dan kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah - satu ringkasan © Domain Awam

Kerajaan Islam Uthmaniyyah atau juga dikenali sebagai Khalifah Uthmaniyyah bermula pada akhir abad ke-13. Gelaran khalifah sebagai petunjuk bahawa ia menggunakan sistem pemerintahan yang berteraskan sistem khalifah berdasarkan pemerintahan yang diwarisi semenjak zaman awal Islam.

Kebangkitan Kerajaan Uthmaniyyah berlaku semasa pemerintahan cicit kepada Sultan Beyazid I iaitu Muhammad al-Fateh (1432 – 1481).  Sebaik sahaja menaiki tahta, beliau menyusun semula aspek pentadbiran dan strategi ketenteraan, mengkaji pelan Kota Konstantinopel dan kegagalan kempen terdahulu, sehingga menemukan titik kelemahannya.

Kejayaan menakluk  Kota Konstantinopel

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang maksudnya:

“Constantinople akan ditakluki oleh tentera Islam.  Rajanya (yang menakluki) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluki) adalah sebaik-baik tentera.”

(Hadis riwayat Musnad Ahmad)

Tokoh Abu Ayub Al-Ansari juga pernah menakluk Konstantinopel untuk menyebarkan Islam dan mendapatkan ganjaran sepertimana maksud hadis Baginda.  Meskipun tidak berjaya tetapi beliau tetap berada di sisi ahli syurga setelah gugur syahid dalam misi tersebut.

Pada awal tahun 857 hijrah bersamaan 29 Mei 1453, setelah dua tahun Sultan Muhammad al-Fateh mengambil alih pemerintahan Khalifah Uthmaniyyah, Konstantinopel berjaya ditawan.

Kejayaan ini menandakan tumbangnya Empayar Byzantine (Rome) yang berteraskan Kristian.  Setelah hampir lapan abad kewafatan Baginda, akhirnya Kota Konstantinopel berjaya dibuka oleh umat Islam.

Kota ini digelar Islambol yang bermaksud ‘keseluruhan kota adalah Islam’.  Ia menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Islam Uthmaniyyah.  Kejayaan ini juga membuka laluan kepada bangsa Turki mengukuh kedudukan mereka di Eropah khususnya di Eropah Timur, memperluas wilayah penguasaan di Balkan dan Mediterranean.  Dakwah Islam tersebar seiring penaklukan wilayah-wilayah tersebut.

Sebelum Kota Konstantinopel ditakluk, kerajaan Uthmaniyyah telah menguasai beberapa wilayah penting di rantau Balkan.  Peperangan Kosovo 1389, Peperangan Nicopolis 1396 telah dimenangi tentera Uthmaniyyah.  Mereka juga berjaya mengawal hampir keseluruhan wilayah Byzantine yang berada di sekeliling Kota Konstantinopel.

Kebangkitan dan kejatuhan Kerajaan Uthmaniyyah

Di bawah Sultan Muhammad al-Fateh, kerajaan Uthmaniyyah semakin kuat dan armada lautnya cekap mengendali pertahanan laut dan menggerunkan musuh sehingga ke Laut Merah.

Mereka berjaya menghalang Portugis menguasai perdagangan rempah ratus di pelabuhan-pelabuhan terkenal.  Kerajaan Uthmaniyyah juga menghantar armadanya melalui jalan laut ke Afrika dan Aceh di Indonesia untuk mempertahan wilayah berkenaan.

Zaman kegemilangan Uthmaniyyah diteruskan di bawah pemerintahan Sultan Sulaiman al-Qanuni (1520 – 1566), pemerintah paling lama dalam kerajaan Uthmaniyyah.

Perubahan di zaman beliau banyak dilakukan dari aspek perundangan. Banyak wilayah Byzantine ditakluknya.  Ia termasuk Hungary, Belgrade dan Rhodes.  Armadanya menguasai Laut Mediterranian, Laut Merah dan Teluk Parsi, laluan strategik perdagangan ekonomi melalui jalan laut.

Kejatuhan Uthmaniyyah disebabkan banyak faktor.  Secara ringkasnya dari sudut ekonomi, ia berhadapan kesukaran membayar hutang dengan bank-bank Eropah.  Kebangkitan nasionalis di wilayah-wilayah tadbiran Uthmaniyyah termasuk di negara-negara Arab apabila tercetusnya Kebangkitan Arab tahun 1916.

Perjanjian Sykes-Picot 1916 menjadi pelan strategik kuasa Barat memecah belah kerajaan Uthmaniyyah. Begitu juga dengan penyertaan Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama, kekalahan menguasai Vienna (1683) dan siri-siri peperangan di Eropah.  Peperangan dengan Rusia yang berlangsung selama tiga abad lebih memburukkan keadaan kerana menelan belanja yang tinggi.

Setelah memimpin dunia Timur, Barat dan Afrika lebih enam abad, Uthmaniyyah secara rasminya berkubur apabila Republik Turki diisytiharkan pada 3 Mac 1924. Pemerintahan beraja (Monarki) dimansuhkan.  Sultan terakhir ialah Sultan Abdulmecid II iaitu khalifah ke-101.