Keberkatan di awal pagi

Kepercayaan Ahmad Mahmud 20-Mei-2020
Contoh ibadah di awal pagi © Paulus Rusyanto | Dreamstime.com

Diriwayatkan dari Sakhr Al-Ghamidi bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Ya Allah, berkatilah umatku di pagi hari mereka (iaitu, apa yang mereka lakukan pada awal pagi).” (Sunan Ibnu Majah)

Kadang kala memang sukar untuk bangun awal. Walaupun kita boleh bangun pagi dari tidur, ia boleh menjadi cabaran yang berat pada hari itu, terutamanya dalam waktu-waktu kita dilanda masalah atau kesusahan.

Mengapa ini mesti menjadi masalah, walaupun waktu pagi adalah waktu yang begitu sesuai dinikmati ketika sendirian. Kenapa ini menjadi sukar sekali? Oleh itu, segera bertanya kepada diri sendiri, apa sebab utama yang akan mendorong diri mencapai sesuatu tujuan.

Jika tidak ada asbab tertentu, sesuatu tindakan itu pasti akan menjadi tidak bermakna. Dan kita pula hilang motivasi untuk meneruskannya. Inilah sebabnya mengapa Islam menganjurkan kita supaya sentiasa membersihkan niat bila berbuat sesuatu.

Islam juga turut mengajar umatnya untuk memberi penekanan penting kepada ibadah kita. Kita mungkin tidak menyedari betapa pentingnya penumpuan ibadah dan bagaimana ia boleh mengubah hidup kita menjadi lebih baik.

Seperti banyak perkara lain, jangan mudah lupa atau lalai melakukan perkara yang akan memberi banyak faedah kepada kita. Usah biarkan hal-hal duniawi menjauhkan diri dari tindakan yang kita tahu sangat penting untuk memperbaiki diri sebagai seorang Muslim.

Allah berfirman dalam Al-Quran: “Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?” [Surah Al-An’aam (6), ayat 32]

Pada awal pagi, kita harus meluangkan masa membaca Al-Quran dan merenungkan ayat-ayat Ilahi agar dapat dicapai ketenangan di dalam hati. Bangun untuk menunaikan solat tahajud sebelum subuh juga ada kelebihannya. Semua ini akan membantu kita melengkapi diri dan menjaga iman daripada kehilangan arah.

Bangun lebih awal untuk meluangkan masa belajar mengenai Nabi Muhammad SAW yang kita sayangi akan membantu kita memahami kenapa perlunya menuruti sunnah. Seterusnya, kita dapat belajar dan berusaha untuk menjadi seperti Baginda.

Allah berfirman dalam Al-Quran: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” [Surah Al-Ahzaab (33), ayat 21]

Dalam menetapkan niat memusatkan perhatian pada ibadah di awal pagi, kita sepatutnya juga harus sedar bahawa Yang Maha Memakbulkan (Al-Mujib) akan memberi balasan yang baik dalam kehidupan sekarang dan yang seterusnya. Maka, kuatkanlah tumpuan untuk istiqamah dalam mematuhi-Nya.