Kebersihan asas kesihatan

Kebersihan asas kesihatan © Supawat Bursuk | Dreamstime.com

Kebersihan adalah asas kepada kesihatan.  Islam amat menitikberatkan penjagaan kebersihan dan mewujudkan keadaan yang selesa pada semua keadaan sama ada ketika beribadat atau sebaliknya. Sebagai contoh, tuntutan mengambil wuduk sebelum solat dan membaca al-Quran jelas membuktikan kepentingan kebersihan untuk  menjamin penerimaan ibadat yang dilakukan oleh setiap muslim.

Para ulama fiqah memberi perhatian tentang soal kebersihan apabila memulakan perbincangan dalam kitab fekah dengan bab taharah iaitu kebersihan.  Ia membuktikan bahawa kebersihan itu menjadi keutamaan khususnya dalam ibadat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu dan kedua-dua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua-dua kaki kamu meliputi buku lali…”  (Surah al-Ma’idah, ayat 6)

Ibadat wuduk memiliki kedudukan tersendiri di sisi Allah SWT.  Ia adalah kunci permulaan ibadat yang paling mulia iaitu solat.  Mengambil wuduk dengan sempurna dapat menenangkan jiwa, menyegarkan badan dan mengembalikan tenaga sehingga boleh melaksana solat dengan sempurna. Wuduk juga dapat membersihkan anggota badan dan menghindarkan diri daripada jangkitan kuman dan habuk.

Sekiranya kita sentiasa dalam keadaan wuduk, faedahnya sangat banyak.  Antaranya kita dapat meningkatkan darjat di sisi Allah SWT, diberi ganjaran syurga di akhirat, dihapuskan dosa-dosa selagi tidak termasuk dalam dosa-dosa besar.

Setiap kali hendak bersolat, pastikan diri, pakaian dan tempat sembahyang bersih dari segala najis dan kotoran. Ini termasuklah di tempat solat seperti masjid atau surau serta kawasan sekitar seperti tandas dan bilik mandi. Dari Abu Malik al-As’hari berkata, sabda Rasulullah SAW:  “Kebersihan itu sebahagian daripada iman.”  (Hadis riwayat Muslim)

Islam juga mementingkan kebersihan diri.  Sejak kecil kita telah diasuh oleh ibu ayah supaya sentiasa menjaga kebersihan diri.  Apabila bangun tidur, kita dituntut agar membersihkan mulut dengan menggosok gigi sebelum makan atau minum dan melakukan perkara lain.  Syarak membolehkan kita menggosok mulut menggunakan kayu sugi, jari tangan dan apa sahaja alat yang tidak najis dan berbahaya.

Bersugi adalah sunah Rasulullah SAW. Daripada Huzaifah r.a, katanya apabila bangun daripada tidur, maka Baginda menggosok-gosok mulutnya dengan kayu sugi.  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kita juga disuruh agar menjaga kebersihan tubuh badan. Amalan seperti mandi, mencukur misai, memotong kuku serta mencukur bulu adalah sunat yang dituntut dalam Islam. Kesemua amalan ini mengandungi hikmah yang antaranya boleh mengekalkan kesihatan, mengelakkan diri daripada mendapat penyakit, sebagai lambang kecantikan, kemas, bersih dan mengikut sunah Rasulullah SAW.

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abdu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Fitrah itu ada lima, iaitu berkhitan, mencukur bulu kemaluan, mencabut bulu ketiak, memotong kuku dan menipiskan misai.”  (HR al-Bukhari, no hadis 5439)

Sesungguhnya kebersihan bermula daripada kita. Kebersihan mencerminkan keperibadian kita sebagai seorang mukmin sebenar.  Kita jaga kita dan kita juga jaga orang di sekeliling.