Kecantikan memukau geometri Islam dalam hiasan dan seni bina

Seni Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Kecantikan memukau geometri Islam dalam hiasan dan seni bina
Kecantikan memukau geometri Islam (foto: bahagian dalam Masjid Al-Aqsa, Palestin) © Oguz Eren | Dreamstime.com

Tidak dinafikan, seni bina Islam mempunyai tarikannya yang tersendiri. Hampir keseluruhan ciri seni bina dan hiasan dalam Islam hanya menggunakan motif alam sekitar atau geometri sahaja.

Bagaimanakah ciri sesuatu geometri dalam Islam itu direka?

Prinsip hiasan dalam Islam

Dalam ciri seni bina Islam, antara prinsip seni bina atau hiasan yang ingin dibuat tidak boleh melibatkan sebarang gambar atau imej manusia dan haiwan. Ini termasuklah lukisan atau ukiran yang melibatkan wajah atau tubuh badan manusia, tokoh, figura terkenal, ilmuwan, pemimpin atau bahkan haiwan.

Ini kerana ia diharamkan dalam Islam. Oleh itu, kebanyakan hiasan dalam Islam hanya bersifat perlambangan, abstrak atau konsep geometri.

Apakah yang dimaksudkan dengan geometri Islam?

Rekaan geometri dalam Islam direka berdasarkan gabungan bentuk segi empat dan bulatan yang berulang-ulang. Gabungan bentuk yang berulang dan bertindan ini kemudiannya akan membentuk satu rekaan yang rumit dan kompleks.

Seni geometri ini tidak terhad kepada hiasan pada dinding bangunan semata-mata. Anda boleh melihat seni geometri di merata-rata tempat dan objek seperti pada permaidani, jubin, buku, siling bangunan, seramik, pakaian, produk kaca, produk keluli dan ukiran kayu.

Sejarah penggunaan geometri dalam seni hiasan Islam

Kewujudan dan perkembangan geometri dalam seni bina dan hiasan Islam mempunyai kaitan dengan perkembangan ilmu sains dan teknologi pada satu ketika dahulu. Pada abad ke-8 dan ke-9, kawasan Timur Tengah, Iran dan Asia Tengah seperti Uzbekistan sedang melalui zaman perkembangan keilmuan yang hebat.

Pada abad ke-10 pula, sumbangan orang Islam terhadap keilmuan menjadi sangat signifikan, termasuklah terhadap ilmu geometri. Dokumen terawal yang merekodkan mengenai geometri dalam sejarah Islam ialah dokumen yang dikarang oleh Al-Khawarizmi pada awal abad ke-9.

Sejak daripada itu, penggunaan geometri ini diterapkan dengan meluas dan telah menjadi sebahagian daripada lambang seni hiasan Islam.

Jenis-jenis corak geometri yang digunakan

Menurut kajian, bentuk bulat yang digunakan dalam geometri Islam melambangkan kesatuan umat Islam. Bulatan melambangkan agama yang menekankan kepada penyembahan Tuhan yang Maha Esa.

Bentuk bulat juga melambangkan peranan Kaabah yang menjadi pusat tumpuan semua Muslim di seluruh dunia. Corak-corak yang lebih kompleks dalam geometri Islam pula boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan utama iaitu:

Corak geometri enam bucu

Dalam kumpulan ini, terdapat dua bentuk yang digunakan iaitu heksagon dan juga bintang berbucu enam.

Corak geometri lapan bucu

Dalam kumpulan ini, terdapat tiga bentuk iaitu oktagon, bentuk bintang berbucu lapan dan corak bunga ros yang mempunyai 8 lipatan (8-fold rosette).

Corak geometri 10 bucu

Dalam kumpulan ini, terdapat tiga bentuk yang digunakan iaitu dekagon, bintang berbucu 10 dan corak bunga ros yang mempunyai 10 lipatan (10-fold rosette).

Jadikan seni bina Islam lebih megah dan mengagumkan

Antara bangunan agung dalam sejarah Islam yang banyak menerapkan kaedah geometri adalah seperti Alhambra dan Masjid Cordoba di Sepanyol, Masjid Al-Aqsa di Palestin dan Kota Merah Agra di India.

Tidak dinafikan, penggunaan kaedah geometri dalam seni bina Islam menjadikan sesebuah bangunan itu lebih cantik dan memukau pandangan.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.