Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Kedah perkasa kedudukan dalam industri kertas teknologi hijau

Menara Alor Setar
Menara Alor Setar, Kedah © Muhammad Fadhli Adnan | Dreamstime.com

Negeri Kedah melalui Invest Kedah Berhad akan mengukuhkan kedudukannya dalam pembangunan industri kertas teknologi hijau dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pelaburan bernilai RM1.6 bilion. Perjanjian persefahaman dengan Zhejiang Element Holding Co.Ltd dan rakan strategik, Genting Ehsan (SP) Sdn Bhd. ini melibatkan pelaburan pembangunan dalam kilang lantai kayu dan kilang kertas teknologi hijau serta  kerjasama berhubung dengan industri perkayuan dan perhutanan.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Tan Kok Yew, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Industri dan Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan menyaksikan majlis menandatangani MoU untuk merealisasikan pelaburan di Kedah oleh wakil-wakil dari Invest Kedah Berhad sebagai pemudah cara, Genting Ehsan sebagai rakan strategik dan Zhejiang Element Holding melalui anak syarikatnya, Yunhua Timber Company Limited dari negara China.

Mukhriz yang ditemui pada sidang media di Wisma Darul Aman berkata, Yunhua Timber akan membangunkan fasiliti pembuatan lantai kayu di kawasan Perindustrian Bukit Selambau, Sungai Petani dengan pelaburan sebanyak RM150 juta yang telah hampir 80% siap. Pelaburan seterusnya adalah pembangunan fasiliti pemprosesan kertas berteknologi hijau sebanyak RM1.6 bilion. Perjanjian ini juga melibatkan kerjasama dengan kerajaan negeri dalam memajukan ladang pokok kayu putih (Eucalyptus) serta mewujudkan rantaian industri ekologi baharu di Kedah.

Projek tanaman pokok-pokok Eucalyptus ini dijangka akan menggantikan pokok-pokok durian yang telah dilarang penanamannya olek Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli bagi menggantikan penanaman semula ladang hutan yang telah ditebang. Adalah diharapkan, penanaman pokok-pokok Eucalyptus ini akan dibenarkan tanamannya bagi tujuan pembekalan.

Menurut Mukhriz lagi, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melalui  laporannya yang merangkumi tempoh Januari hingga September 2019 telah meletakkan Kedah di tempat ketiga, di belakang Pulau Pinang dan Selangor dengan nilai pelaburan sebanyak RM7.8 bilion.