Kehamilan dan isteri anda

Kehidupan Hanita Hassan 14-Sep-2020
dreamstime_s_147004688
Ibu hamil perlu perhatian © Odua | Dreamstime.com

Apabila diberitahu oleh doktor bahawa isteri anda hamil, sudah tentu ia adalah saat yang sangat mengujakan. Apatah lagi sekiranya anda adalah pasangan yang baharu berkahwin. Pengalaman ini sudah tentu bukan sesuatu yang mudah terutama untuk melalui tempoh kehamilan isteri sepanjang sembilan bulan 10 hari.

Ibu bapa adalah tempat paling mudah untuk anda mendapatkan penjelasan selain doktor berkaitan kehamilan.  Bak kata pepatah mereka lebih dahulu makan garam daripada anda.  Banyak petua lama yang boleh digali semula dan sekiranya sesuai, boleh sahaja digunakan asal sahaja tidak memudaratkan isteri dan bayi dalam kandungan sepanjang kehamilan, paling penting tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Ucapkan terima kasih kepada isteri kerana sanggup bersusah payah mengandungkan zuriat anda.  Belikan isteri hadiah seperti bunga atau coklat dan rancang makan malam di restoran mengikut kemampuan supaya dia berasa sangat dihargai.  Sekiranya anda mampu masak di rumah, masaklah menu istimewa untuk isteri.

Setiap kehamilan mempunyai ragam yang berbeza. Anda hendaklah faham akan peranan yang perlu dimainkan kerana ketika ini isteri sangat sensitif dan memerlukan sokongan. Biarkan isteri meluahkan perasaan dan kebimbangan yang dirasainya semasa mengandung. Anda juga hendaklah bersama-sama  memikirkan nama yang baik untuk bayi, menyiapkan keperluan bilik dan pakaian, perabot dan hospital serta doktor yang bakal menyambut kelahiran bayi anda.

Peringkat awal hamil, isteri anda akan mula mengalami muntah-muntah dan loya-loya.  Anda perlu banyak bersabar dengan situasi ini.  Adakalanya isteri tidak boleh berada dekat dengan anda kerana faktor bau badan dan sebagainya.  Usah mengambil hati, tetapi layanlah isteri sebaiknya. Anda perlu membantu menenangkan hatinya dan membuatkan dia sentiasa ceria dan gembira.

Belailah isteri dengan penuh kasih sayang, sentiasa peluk  dan berikan pujian kepada isteri.  Sekiranya anda pulang kerja awal,  bantulah  isteri di dapur seperti memasak, mengangkat dan melipat baju serta mengemas rumah. Layanan istimewa dan pujian ini akan mengalihkan tumpuan isteri daripada kesukaran saat mengandung.

Paling penting, setiap kali isteri membuat rawatan susulan ibu mengandung di  klinik, pastikan anda meluangkan waktu untuk menemaninya.  Ia adalah saat indah yang tidak akan berlaku berulang kali.  Ketika inilah anda dapat mendengar denyutan jantung bayi atau melihat imbasan ultra bunyi pada usia kandungan memasuki 20 minggu.

Apabila isteri mengidamkan sesuatu, segera penuhi permintaannya walaupun terpaksa keluar rumah tiga pagi semata-mata mahu mencarikan contohnya ais krim yang diidamnya.  Permintaan kecil isteri itu jika dapat dipenuhi membuktikan  kasih sayang anda.  Namun sekiranya apa yang diidamkan itu tidak dapat ditunaikan, pujuklah isteri dengan baik dan lembut, berilah alasan sesuai keadaan semasa.

Anda juga boleh membacakan potongan ayat-ayat al-Quran kepada isteri sewaktu tidur supaya  kedua-duanya lebih tenteram.  Sesungguhnya hargailah saat indah ini dan syukuri nikmat Allah SWT.