Kehidupan kita dan media sosial dunia

Teknologi Hanita Hassan 18-Okt-2020
dreamstime_s_26299960
Kehidupan kita dan media sosial dunia © Darkworx | Dreamstime.com

Sebagai umat Islam, kita mesti berhati-hati dengan cara menggunakan media sosial. Kita bertanggungjawab atas setiap perkara yang kita putuskan untuk lakukan bagi mengisi masa lapang, pilihan yang akan membawa kita ke jalan yang benar atau salah dan membiarkan tabiat menjadi ketagihan.

Manusia hidup di dunia nyata bukannya dalam dunia atas talian. Sesiapa sahaja mungkin tidak menyedari bahawa perbuatan yang dilakukan di media sosial boleh mendorong orang lain melakukan kesalahan.

Penggunaan masa untuk media sosial dan realiti kehidupan

Kita bertanggungjawab untuk memutuskan bagaimana penggunaan masa. Sekiranya kita menghabiskan terlalu banyak masa di media sosial sehingga tidak sedar masa berlalu, kita sebenarnya cuai dengan realiti kehidupan. Kita lupa tujuan utama hidup di dunia ini.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah-Ku.”

(Surah adz-Dzaariyat, ayat 56)

Tambahan pula, pilihan yang kita buat ketika melayari media sosial sebenarnya boleh membawa kita sama ada ke jalan yang benar atau salah. Sama seperti ketika menonton televisyen. Kita boleh memilih menonton program yang bermanfaat sebagai seorang Muslim beriman atau menonton program yang akan memberi kesan negatif kepada tahap keimanan dan kerohanian kita.

Berhati-hatilah apabila tabiat tidak dikawal, ia dengan mudah akan menjadi ketagihan. Selalunya ramai tidak sedar mereka sebenarnya telah mula ketagih akan sesuatu. Sekiranya kita menggunakan media sosial dan merasakan terdapat keperluan untuk mengemas kini status atau melihat bagaimana orang lain menjalani kehidupan, lama-kelamaan tabiat akan menjadi kebiasaan dan akhirnya ketagihan. Ia adalah penting untuk mengawal perkara ini di peringkat awal dan berusaha mengelakkannya.

Penggunaan media sosial boleh menyebabkan kita tidak berpijak di dunia nyata, kerana mudah dipengaruhi oleh dunia atas talian. Hiduplah dalam dunia realiti agar   tidak mengabaikan tanggungjawab. Usah biarkan media sosial mengambil alih kehidupan kita dan mengalih tumpuan daripada tujuan utama kehidupan kita.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan tiadalah kehidupan dunia ini, selain dari main-main dan senda gurau belaka. Dan sungguh kampung akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Maka tidakkah kamu memahaminya?”

(Surah al-An’aam, ayat 32)

Kehidupan dan media sosial

Media sosial juga menimbulkan keadaan di mana kita mungkin sebahagian daripada yang memainkan peranan menggalakkan orang lain melakukan kesilapan. Dengan menyokong dan menjadi pemerhati kepada pengguna media sosial yang mungkin melakukan perkara-perkara yang tidak seiring dengan Islam, walaupun kita tidak menirunya.

Ini tidak bermaksud kita boleh bersikap tidak sopan kepada mereka, kerana ini juga bukan perkara yang diajar oleh Islam – sebaliknya agama mengajar kita untuk sentiasa bersikap baik.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang menyeru kepada kebaikan nescaya dia beroleh pahala seperti orang yang melakukannya tidak dikurangi sedikit pun pahala mereka. Sesiapa yang menyeru ke arah kesesatan nescaya dia beroleh dosa seperti orang yang melakukannya, tidak dikurangi dosa mereka itu sedikit pun.”

(Hadis riwayat Muslim)

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan takwa, dan jangan tolong-menolong dalam berbuat dosa dan pencerobohan.”

(Surah al-Maidah, ayat 2)