Keimanan dan mendengar siaran podcast atau radio digital Islam

Kehidupan Nur Adibah Ramly 12-Okt-2020
dreamstime_s_108216097
Keimanan dan mendengar siaran podcast atau radio digital Islam © Spaxia | Dreamstime.com

Mendengar siaran radio digital atau podcast (fail media digital) Islam boleh membantu kita meningkatkan tahap keimanan. Malahan, ia boleh meningkatkan pengetahuan anda tentang agama dan menaikkan semangat.

Anda juga boleh mendengar radio pada bila-bila masa sahaja kerana anda tidak perlu menontonnya  berulang kali dalam sehari tetapi  hanya perlu mendengarnya sahaja. Ketika dalam perjalanan, sama ada dekat ataupun jauh, anda juga boleh mendengar siaran radio digital Islam. Ia bukan sahaja dapat membuatkan perjalanan anda lebih menarik malahan dapat meningkatkan aura positif dalam diri.

Mengingati Allah SWT, hati menjadi tenteram

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:

“(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”

(Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Anda boleh mendengarnya semasa dalam perjalanan setiap hari, seperti ke tempat kerja atau ke kedai. Walau di mana sahaja anda pergi, siaran podcast dan radio digital Islam  bukan sahaja dapat menceriakan suasana malahan anda dapat mempelajari sesuatu sepanjang perjalanan itu. Di saat terdetiknya hati untuk berusaha meningkatkan keimanan dalam diri dengan niat yang baik, pasti sahaja Allah SWT akan menolong anda untuk mencapai matlamat tersebut.

Apabila anda bangun pagi dan terus memulakan kerja atau tugas harian,  ia boleh melalaikan anda akan tujuan kehidupan.  Anda mungkin akhirnya melupakan Allah SWT ketika terganggu oleh hal-hal duniawi dan semua perkara yang telah anda rancang pada hari tersebut.

Waktu pagi adalah masa yang sesuai  mendengar siaran radio digital Islam sebelum anda disibukkan dengan perancangan hari tersebut. Pada waktu pagi, anda cenderung mempunyai fikiran yang segar berbanding pada waktu-waktu lain, dan anda lebih cenderung  dipengaruhi dengan apa yang anda dengar dan mengingatinya. Mendengar siaran radio digital boleh membantu anda memulakan hari dengan baik dan menyedarkan minda akan tujuan utama  dalam kehidupan ini.

Sekiranya anda mempunyai banyak waktu terluang pada siang hari, dan anda ingin berusaha untuk tidak membuang masa sebagai seorang yang beriman, maka mendengar siaran podcast Islam adalah pilihan terbaik. Apabila Allah SWT  mengurniakan anda dengan waktu lapang, anda hendaklah mengurus masa lapang itu dengan sebaiknya, mempelajari lebih banyak mengenai agama Islam dan meningkatkan tahap keimanan.

Luangkan masa mendengar siaran podcast atau radio digital Islam

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Barangsiapa yang menempuh satu jalan untuk menuntut ilmu maka Allah SWT akan memudahkan baginya jalan untuk ke Syurga. Tidaklah satu kumpulan berkumpul di dalam sebuah rumah di antara rumah-rumah Allah, membaca kitab Allah (al-Quran) dan mempelajarinya sesama mereka melainkan akan turun kepada mereka sakinah (ketenangan), diliputi ke atas mereka rahmat dan dinaungi oleh malaikat serta Allah SWT akan menyebut mereka pada malaikat yang berada di sisi-Nya.”

(Hadis Riwayat Muslim, 4867)

Ketika bersama keluarga atau rakan-rakan, luangkanlah masa dengan mendengar siaran radio digital Islam bersama mereka. Ini bukan bermakna anda perlu mendengarnya selama satu jam, tetapi sekejap sahaja pun sudah memadai.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Seorang Mukmin itu berada di atas agama (gaya hidup dan perilaku) sahabatnya. Maka, salah seorang daripada kamu hendaklah memerhatikan dengan siapakah dia bersahabat.”

(HR at-Tirmidzi dan Abu Dawud)

Selain itu, anda juga boleh mendengar podcast semasa makan. Ia lebih bermanfaat untuk dilakukan berbanding perkara-perkara lain semasa sedang makan. Biasanya anda mungkin terganggu oleh media sosial atau  televisyen. Oleh itu mendengar radio yang membantu anda meningkatkan keimanan tentunya membawa lebih banyak manfaat.

Sekiranya anda sedang mengalami situasi negatif dan tidak tahu apa yang harus dilakukan,  siaran podcast dan radio digital Islam dapat membantu mengalihkan fokus daripada kebimbangan itu.  Ia juga dapat memfokuskan kembali tujuan asal anda hidup iaitu semata-mata kerana Allah SWT.