Keindahan kawasan pasir dan pantai Klebang

Melancong Hanita Hassan 03-Okt-2020
Pantai-Klebang-_byloka.com
Pantai Klebang © byloka.com

Negeri Melaka terkenal sebagai negeri bersejarah di Malaysia dan destinasi pelancongan dunia yang paling disukai ramai. Sekiranya anda teringin ke Melaka, sila masukkan Pantai Klebang dalam senarai mesti dikunjungi. Keindahan kawasan pasir dan pantai Klebang menawarkan percutian pantai dan pelbagai tarikan lain. Kesemuanya pasti meninggalkan kenangan yang tidak akan dilupakan.

Setiap kali cuti umum atau cuti sekolah, banyak tempat pelancongan di negeri Hang Tuah ini dipenuhi pelancong dari dalam mahupun luar negara. Pantai Klebang adalah antara destinasi utamanya.

Keindahan Pantai Klebang

Anda boleh menikmati keindahan pantai yang memutih. Aktiviti menerbangkan layang-layang di kawasan pakir bukit pasir juga popular. Pengunjung juga biasa memilih makanan popular yang ditawarkan melalui trak makanan serta Coconut Shake yang menyegarkan.

Suatu ketika, pantai Klebang menjadi tumpuan dalam kalangan juru gambar dan Instagramer. Mereka mengabadikan foto-foto keindahan kawasan bukit pasir sehingga tular di media sosial.

Hanya 15 minit sahaja dari bandar Melaka, bukit pasir ini terhasil daripada aktiviti penambakan pantai sejak sedekad lalu. Ia adalah berkaitan dengan kestabilan pembangunan di hadapan pantai yang menjadi masalah. Hasilnya, ia telah ditinggalkan menjadikan timbunan pasir setinggi 10 hingga 20 meter.

Kawasan bukit pasir di Klebang ini juga terkenal sebagai tempat bagi peminat fotografi amatur dan profesional bereksperimen. Mereka memotretkan foto-foto dramatik dengan latar belakang langit membiru dan bukit pasir putih yang menakjubkan dalam kanvas potret masing-masing.

Sekali pandang, pasir putih di kawasan bukit pasir Klebang ini seakan-akan timbunan abu gunung berapi yang tercetus di kawasan Gunung Berapi Bromo, Indonesia. Namun ia tidaklah terlalu halus dan masih mudah untuk diurus bagi anda yang baharu hendak bermula dan pendaki yang kurang pengalaman. Sekiranya anda sampai di kawasan ini, anda mesti mengalami sendiri pengalaman memanjat bukit pasir ini dan mengelunsur dari atas bukit ke bawah.

Keindahan kawasan pantai lebih menarik sekiranya anda dapat memotretkan foto di waktu matahari terbenam sewaktu berada di atas bukit pasir.  Pelbagai pemandangan unik dan menakjubkan ciptaan Allah SWT boleh anda saksikan pada rembang senja, tatkala langit bertukar samar-samar daripada jingga ke merah dan unggu.

Sekiranya anda di berada di sekitar Bandar Hilir, hanya beberapa minit sahaja dengan kenderaan, anda akan sampai di destinasi ini. Ia dikunjungi ramai tidak kira di waktu pagi, tengah hari atau petang mahupun di waktu hari biasa dan cuti umum, ia sentiasa penuh.

Pelbagai aktiviti pantai

Mungkin juga kerana tarikan pantainya sebagai tempat melepas lelah berekreasi bersama keluarga sambil menikmati makanan yang ditawarkan oleh kedai-kedai berhampiran.  Pantai Klebang ini kawasannya berteluk dan permukaan pasirnya lapang dan sesuai untuk aktiviti layang-layang, mengejar buih belon, bermain di taman permainan yang disediakan dan aktiviti istana pasir.

Tidak seperti pantai lain di sebelah pantai timur, ombaknya perlahan dan tidak terlalu kuat.  Namun bagi yang membawa anak kecil, perlu sentiasa memantau aktiviti mereka supaya hanya bermain di kawasan gigi air sahaja.

Bagi penggemar aktiviti lasak equestrian, anda boleh mendapatkan khidmat tunggang kuda padi, pengalaman menaiki jentera lasak ATV atau kereta kuda. Jangan lupa mengunjungi Muzium Kapal Selam iaitu satu kilometer dari kawasan pantai.

Setelah seharian di pantai, singgah ke kedai Coconut Shake Original Klebang untuk membasahkan tekak yang kering dan menikmati kuih keria antarabangsa yang terletak lebih kurang dua kilometer dari pantai. Selamat berlibur.