Keistimewaan air Zamzam

Kepercayaan Chan Abdullah 08-Mei-2020
Air Zamzam di Masjid Nabawi © Ahmad Faizal Yahya | Dreamstime.com

‘Ke sana ke sini, lari-lari kecil. Bagai Siti Hajar, mencari air. Terpancur sinar di kering pasir. Bekas hentakan kudus kaki Ismail.’ Setiap kali terdengar lirik lagu Raikan Cinta oleh Datuk M Nasir ini, pastinya membuatkan saya teringat akan air Zamzam. Telaga Zamzam yang ditemui dari zaman Nabi Ibrahim ini terus kekal membekalkan air sehingga kini.

Terdapat banyak keberkatan dan keistimewaan air Zamzam ini sepertimana yang telah diriwayatkan dalam hadis-hadis Nabi SAW. Berikut ialah fakta-faktanya:

  • Salah satu daripada mata air yang terdapat di dalam syurga
  • Satu kekuasaan Allah SWT di Tanah Suci Mekah
  • Air Zamzam ini juga adalah asbab pembangunan dan kemajuan bumi Mekah yang seterusnya dibina Kaabah di sana
  • Air Zamzam tidak kering walaupun ramai orang yang meminumnya
  • Dipilih sebagai bahan untuk membersihkan hati Rasulullah SAW ketika peristiwa Israk dan Mikraj
  • Kurniaan pertama yang Allah SWT kurniakan melalui doa Nabi Ibrahim a.s.

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim, ayat 37: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian daripada zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tiada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadah). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ) dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.”

Para ulama Islam telah menggariskan beberapa adab yang patut diikuti ketika minum air Zamzam. Seseorang perlu menghadap ke arah kiblat ketika minum. Seterusnya, membaca lafaz bismillah sebelum minum, memuji kebesaran Allah SWT dengan mengucapkan Alhamdulillah pada setiap teguk, minum dengan tangan kanan sebagaimana yang telah diajarkan oleh Baginda Rasulullah SAW dan berdoa setelah selesai minum air Zamzam.

Banyak kajian yang telah dilakukan para saintis ke atas air Zamzam. Salah satu daripadanya ialah kajian yang bertajuk In Vitro Cytotoxic and Anticancer Effects of Zamzam Water in Human Lung Cancer (A594) Cell Line yang diterbitkan pada tahun 2018 dalam The Malaysian Journal of Medical Sciences. Hasil kajian menunjukkan air Zamzam berjaya mengurangkan jumlah sel kanser paru-paru. Kombinasi unik mineral dalam air Zamzam termasuk arsenik dan kadmium berjaya membunuh sel kanser.

Hebat sungguh ciptaan Allah SWT ini. Begitulah air Zamzam, air kurniaan Allah yang penuh keistimewaan buat manusia.