Keistimewaan amalan Habbah as-Sauda

Makanan Zalika Adam 30-Jul-2020
Habbah as-Sauda © Ashraf Ullah | Dreamstime.com

Habbah as-Sauda (Habbatus Sauda) dipanggil juga ‘Habbah al-barakah’, iaitu ‘Biji Hitam’ atau ‘Biji Berkat’. Juga dikenali sebagai ‘Jintan Hitam’, nama sainsnya ialah ‘Nigella Sativa’ atau Black Cumin Seed dalam bahasa Inggeris.

Ia merupakan sejenis rempah yang biasa digunakan dalam masakan di beberapa negara Arab. Bahkan, ia juga boleh dijadikan sebagai penawar bagi beberapa penyakit. Habbah as-Sauda merupakan antara makanan sunnah yang diamalkan oleh Baginda Rasulullah SAW.

Kandungan Habbah as-Sauda

  • Mengandungi hampir 21% protein
  • Mengandungi hampir 38% karbohidrat
  • Mengandungi hampir 35% lemak tumbuhan
  • Mengandungi zat besi seperti Magnesium dan Kalsium
  • Mengandungi vitamin A, B dan C

Keistimewaan Habbah as-Sauda

Banyak kajian sudah dibuat ke atas Habbah as-Sauda. Jelas menunjukkan bahawa ia mempunyai beberapa keistimewaan, antaranya:

  • Melawan kuman dan kanser
  • Mengurangkan kolestrol dalam badan
  • Melegakan radang tekak
  • Memberi kesihatan rambut
  • Memberi kesihatan pada akal

Terdapat beberapa dalil menyebut kelebihan Habbah as-Sauda iaitu:

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Apa yang didatangkan oleh Rasulmu, maka ambillah, apa yang ditegah maka jauhilah.” (Al-Hashr, ayat 7)

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya pada habbah as-Sauda itu ada shifa (penyembuhan) daripada setiap penyakit, kecuali as-Saam (mati).” (Hadis riwayat Muslim)

Amalan sunnah adalah menjadi satu elemen penting yang menjadi panduan kepada umat Islam. Sesuai dengan sabda Baginda SAW: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, dan kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang dengannya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya (sunnah Nabi SAW).” (HR Malik)

Banyak produk dipasaran menggunakan bahan Habbah as-Sauda, disamping menggunakan hujjah hadis yang menyatakan, bahawa ia boleh menyembuhkan segala penyakit. Sekiranya, ia sudah bercampur dengan bahan kimia, maka zat dan keistimewaannya sudah hilang. Namun, kita hanya mampu berikhtiar untuk mengamalkan makanan sunnah dalam kehidupan kita. Kita juga perlu mendapatkan pemeriksaan lanjut daripada doktor yang diiktiraf, sekiranya sebarang penyakit berlanjutan.

Justeru, kehidup masyarakat Muslim banyak didorong oleh amalan sunnah Nabi Muhammad SAW. Contohnya, ia dapat dilihat dalam aspek penjagaan kesihatan. Masyarakat Muslim banyak merujuk kepada sunnah Baginda dalam hal ehwal merawat penyakit kerana di samping dapat meraih pahala, ia turut membawa manfaat kesihatan.