Kejahatan Iblis menggoda manusia

Kepercayaan Zalina Majid 18-Ogo-2020
Tipu daya Syaitan dan godaannya © Cammeraydave | Dreamstime.com

(Terjemahan SalamWebToday bahasa Arab)

Siapakah Iblis? Dari segi bahasa iblis adalah dari perkataan (ابلس) yang membawa maksud ‘putus asa’, ‘menyesal’ dan ‘cepat kecewa’. Gelaran itu adalah disebabkan sifat iblis itu sendiri ketika mana mendapat kutukan dari Allah SWT. Di saat itu iblis berasa putus asa daripada rahmat dan pengampunan Allah. Iblis menyesal kerana Allah menciptakan Nabi Adam alaihissalam.

Demikian ia tercatat di dalam al-Quran sebanyak 13 kali perkataan Iblis dan 88 kali kalimah Syaitan. Sifatnya yang ketara adalah melanggar perintah dan tidak akan berterima kasih kepada Allah SWT. Asal usul iblis adalah dari kalangan Jin yang bersandarkan dari nas al-Quran dalam surah al-Kahf, ayat 50, yang bermaksud:

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: ‘Sujudlah kamu kepada Adam;’ lalu mereka sujud melainkan iblis; ia adalah berasal dari golongan jin, lalu ia menderhaka terhadap perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu hendak menjadikan iblis dan keturunannya sebagai sahabat-sahabat karib yang menjadi pemimpin selain daripadaku? Sedang mereka itu ialah musuh bagi kamu. Amatlah buruknya bagi orang-orang yang zalim: pengganti yang mereka pilih itu.”

Manakala Syaitan pula merupakan sifat yang disandarkan kepada sesuatu. Ia bukanlah nama bagi makhluk atau seseorang. Perkataan Syaitan berasal daripada perkataan ‘Syatana’  ( شطن ) yang bermaksud ‘Jauh daripada mentaati Allah’. Disebabkan syaitan itu bukan nama makhluk tapi nama sifat, maka sifat itu boleh melekat pada semua makhluk.

Jin atau Iblis yang jahat bersifat Syaitan, manusia yang berbuat kejahatan juga bersifat syaitan. Oleh kerana itu disebut dalam al-Quran, surah an-Nas, ayat 6 yang bermaksud: “(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.”

Justeru, Iblis dan Syaitan kekal sebagai musuh kepada kita. Hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a: “Bagi orang beriman itu ada empat musuh, orang beriman yang dengki, orang munafiq yang membenci, syaitan yang menyesatkan, orang kafir yang memerangi.”

Lihat sahaja sekeliling kita, kata beriman namun hati berlumut, berpangkat tapi kata mengata, memfitnah, sindiran kebencian, mengampu, berdusta, mencaci, memaki hamun malahan ada yang kerap bersedekah tapi istiqamah mencerca dan mengaibkan, ada juga zahirnya berukhuwah tetapi budayanya sukakan adu domba, melaga-lagakan satu sama lain dan banyak lagi.

Kesemuanya kerana bisikan dan pujukan Syaitan. Inilah golongan yang menyusun permainan dan penglibatan mereka memporak-perandakan hubungan manusia sehingga kejahatannya menghasilkan salah faham. Sejauh mana kita berusaha memperbaiki dan melawan sifat syaitan adalah bergantung kepada kekuatan dalaman iman kita.

Iblis akan berusaha sehabis daya bagi menghancurkan dan menyesatkan seramai mungkin manusia sehingga ke titisan akhir jurang kehinaan api neraka. Kerana itu adalah janji iblis tatkala Allah SWT melaknati mereka.

Namun begitu, sebagai hamba kita perlu sentiasa memohon perlindungan dari Allah SWT. Sentiasa berdamping dengan Allah  dan mentaati-Nya. Keraplah memaksa diri melakukan amal soleh dan kebajikan dan beriltizam dengan amalan-amalan tertentu yang dapat menyelamatkan kita dari menjadi mangsa gangguan dan hasutan syaitan.