Kejiranan digital di media sosial

Kehidupan Hanita Hassan 21-Mei-2020
Kejiranan media sosial © Tampatra1 | Dreamstime.com

Media cetak memainkan peranan yang cukup penting suatu ketika dahulu.  Kita memerlukan akhbar kerana semua berita di kawasan kejiranan, sekitar daerah, negeri dan negara serta berita dunia terkandung di dalamnya.  Apabila internet dan teknologi komunikasi berkembang, sedikit demi sedikit peranan media cetak semakin terpinggir.

Hari ini dengan adanya ruang baharu seperti media sosial yang mesra pengguna dan lebih menarik telah mengubah tumpuan kita ke saluran-saluran tersebut. Kita boleh mendapatkan berita dan maklumat terutama dalam waktu krisis pandemik wabak COVID-19 yang melanda dunia. Ia turut menyediakan kemudahan jaringan sosial dan interaksi antara pembaca dengan penulis dan penonton.

Kehadiran media sosial turut memberi impak yang besar kepada industri akhbar.  Laporan jualan akhbar nasional di Malaysia jatuh sebanyak 50-70% sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu dan berterusan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun.

Daripada papan mesej, bilik sembang dan komunikasi dalam kalangan rakan sebaya atau sekerja, internet menjadi platform sosial moden massa.  Ia bukan sekadar alat atau kemudahan edaran, pengarkiban dan murah serta berasaskan teks semata, tetapi juga   boleh digunakan bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Berbanding teknologi di era cetak dan penyiaran, maklumat media baharu adalah bercirikan pertumpuan (convergence), rangkaian digital, capaian global, interaktiviti dan komunikasi ‘ramai kepada ramai’. Ia adalah gabungan semua elemen komunikasi lisan, tulisan, visual, data dan bunyi menggunakan komputer dan alat telekomunikasi, bersatu dalam satu  platform.

Selain menjadikan media sosial sebagai medium maklumat, ia juga digunakan untuk melawat halaman jaringan sosial rakan, bertukar mesej, mencari sahabat lama dan baharu, bertemu janji serta medan untuk memuatnaik foto dan video.

Bagi pengguna beragama Islam yang mahukan platform patuh Muslim, SalamWeb boleh dijadikan pilihan utama.  SalamWeb mempunyai  ciri-ciri yang  boleh mendekatkan kita kepada Ekosistem Islamik.  Sambil kita melayari internet sambil kita memelihara ketakwaan terhadap Islam.

Kemunculan SalamWeb juga selari dengan perkembangan sains, budaya dan kehidupan masyarakat Islam, sekali gus menjadi medium penimbaan ilmu berterusan dalam jangka panjang untuk mempertahan identiti budaya dan agama Islam yang semakin terdedah dengan ancaman dan pengaruh Barat.

Dalam masa yang sama, media baharu yang muncul turut mendedahkan kita dengan ancaman maklumat palsu. Rasulullah SAW menyarankan agar mengambil sikap untuk tidak memanaskan keadaan sedia ada.  Dalam sesetengah keadaan, diam itu kadang kala lebih baik daripada turut memburukkan keadaan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:  “Sesungguhnya akan terjadi fitnah, orang yang duduk (diam) adalah lebih baik daripada yang berdiri.  Orang yang berdiri adalah lebih baik daripada orang yang berjalan.  Dan orang yang berjalan adalah lebih baik daripada orang yang berlari.”  (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru marilah kita gunakan platform media sosial untuk berkongsi maklumat yang sahih, tepat serta benar. Penyalahgunaannya akan menjejaskan keamanan dan kestabilan sejagat.