Keju Labneh, yogurt Lubnan yang kaya probiotik

Kesihatan Md Wa'iz
Terkini oleh Md Wa'iz
Keju Labneh, yogurt Lubnan yang kaya probiotik
Keju Labneh, yogurt Lubnan yang kaya probiotik © Eokwong | Dreamstime.com

Ada sebahagian makanan daripada Timur Tengah boleh dikategorikan sebagai makanan yang bukan sahaja amat sedap, tetapi juga menyihatkan. Ini termasuklah keju Labneh, yogurt Lubnan yang kaya probiotik untuk manfaat usus kita.

Apakah keju Labneh ini dan keistimewaan probiotik di dalamnya?

Apakah keju Labneh?

Ia adalah sejenis keju cair atau keju lembut yang biasa dimakan oleh penduduk di negara-negara Timur Tengah. Ia biasa dijadikan sebagai bahan pencicah, bahan sapuan pada roti atau sebagai hidangan pembuka.

Hidangan ini rendah kandungan laktosa, iaitu gula yang terdapat dalam susu. Namun, ia tinggi dengan kandungan probiotik atau bakteria baik yang sangat penting untuk kesihatan usus dan proses penghadaman.

Ia biasa dihasilkan daripada produk tenusu berkultur seperi susu masam, yogurt Greek dan yogurt biasa yang lain. Hidangan ini juga biasa diperasakan dengan lemon dan beberapa jenis herba lain.

Keju Labneh kaya dengan kandungan nutrien

Keju ini bukan hanya kaya dengan kandungan protein dan lemak, tetapi juga beberapa nutrien lain yang sangat baik untuk tubuh anda.

Bagi setiap 28 gram keju Labneh yang dihidang bersama minyak zaitun, ia mengandungi kandungan nutrien seperti berikut:

  • Protein: 5 gram
  • Lemak: 6 gram
  • Sodium: 530 mg
  • Kalsium: 14% cadangan pengambilan harian
  • Vitamin A: 6% cadangan pengambilan harian
  • Zat besi: 2% cadangan pengambilan harian
  • Turut mengandungi sebilangan kecil fosforus, kalium dan magnesium

Keju Labneh, yogurt Lubnan yang kaya probiotik, baik untuk usus

Disebabkan keju Labneh ini diperbuat daripada yogurt atau susu masam, ia semestinya kaya dengan sumber probiotik. Probiotik adalah mikroorganisme atau bakteria baik yang memberikan manfaat kepada usus anda seperti membantu mewujudkan usus yang sihat.

Kehadiran probiotik dalam usus anda boleh membantu merawat dan mengelakkan masalah-masalah  berkaitan penghadaman seperti cirit-birit, sindrom iritasi usus dan mengelakkan jangkitan usus.

Selain daripada itu, probiotik juga boleh membantu meningkatkan ketahanan tubuh badan daripada sebarang ancaman jangkitan dan juga penyakit.

Bukan itu sahaja, ada juga kajian menyatakan, probiotik dapat menggalakkan penurunan berat badan, meningkatkan kesihatan mental selain merawat kulit yang sihat.

Pilih Labneh untuk bahan pencicah yang lebih sihat

Labneh ternyata bukan hanya sedap, tetapi ia jelas pilihan makanan yang lebih sihat. Bagi mereka yang gemar menggunakan jenis sos seperti mayonis atau sebarang sos yang kurang sihat, anda boleh menggantikannya dengan Labneh dalam hidangan anda.

Labneh adalah jenis makanan yang serba boleh, ia boleh disapukan pada roti, dijadikan dressing salad atau dijadikan sos pencicah. Mungkin selepas ini anda boleh mula mencari Labneh di pasaraya atau di kedai-kedai yang menjual bahan makanan dari Timur Tengah.

Tetapi ingat, walaupun ia kaya dengan probiotik dan manfaat lain, tidak bermakna anda boleh menikmatinya tanpa had setiap hari. Anda masih perlu mengawal pengambilannya agar tidak terlebih makan sehingga boleh menyebabkan masalah kesihatan lain.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.