Kejururawatan dan tokoh Muslim pertama dunia

Dunia Hanita Hassan 13-Mei-2020
Jururawat dan doktor berganding bahu © Dboy Studio - Dreamstime.com

Dalam dunia perubatan Islam, Rufaidah Saad Al Aslamiah (570 – 632 M) ialah tokoh jururawat Muslim pertama di dunia, jauh lebih awal daripada Florence Nightingale, tokoh jururawat moden barat (12 Mei 1820 – 13 Ogos 1910). Jasa Rufaidah dalam bidang perubatan Islam adalah cukup besar. Beliau tidak gentar berada di medan perang sebagai sukarelawan untuk merawat askar-askar yang cedera semasa Perang Badar, Uhud, Khandaq dan Khaibar.

Florence Nightingale adalah tokoh jururawat moden.  Digelar Lady With The Lamp kerana sumbangan besar beliau ketika peperangan Crimea (1852 – 1854 M).  Beliau telah merawat dan menjaga tentera-tentera tercedera yang dalam kesakitan dengan hanya bersuluhkan sebuah pelita dalam cuaca yang gelap dan sejuk.

Di Malaysia, profesion kejururawatan telah bermula tahun 1800 di Pulau Pinang dan Singapura oleh sukarelawan dari East India Co. yang kemudian digantikan oleh biarawati Katolik. Latihan (sambil bekerja) jururawat pertama di Johor Bahru pada tahun 1938 dan terhenti pada tahun 1942-1945 disebabkan meletusnya Perang Dunia Kedua. Sekolah Kejururawatan mula ditubuhkan pada tahun 1946 iaitu di Johor Bharu, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. Sistem penjagaan kesihatan mula berkembang di Malaya pada tahun 1951.

Sejak pandemik wabak koronavirus baharu melanda negara, kita tidak dapat menafikan bahawa cabaran hebat yang dihadapi jururawat di seluruh dunia dan pengorbanan mereka setanding dengan anggota barisan hadapan yang lain.  Jururawat antara kakitangan barisan hadapan yang sentiasa bertugas bersama doktor, pembantu kesihatan dan semua yang terlibat di sektor kesihatan.

Sebagai manusia biasa, jururawat juga tidak lari daripada ketakutan dijangkiti namun mereka tetap cekal kerana ini adalah tuntutan kerja dan tanggungjawab. Setiap kali kematian berlaku, mereka inilah orang pertama yang akan menangis dan kecewa kerana berasa ‘kalah’ dengan virus COVID-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam perutusannya sempena Hari Jururawat Sedunia menyifatkan jururawat adalah tulang belakang dalam sektor kesihatan negara dan sumbangan mereka diibaratkan sebagai wira dan wirawati yang tidak didendang.

Sambutan Hari Jururawat Sedunia 2020 yang jatuh pada 12 Mei lalu disambut dalam keadaan yang cukup berbeza. Namun, jururawat terus teguh dan bersemangat memastikan keselamatan negara kekal terpelihara.

Seorang jururawat yang dedikasi terhadap profesionnya akan sentiasa mementingkan keperluan dan kebajikan pesakit serta keluarga mereka. Integriti  akan tetap menjadi pegangan selain ikhlas dalam melaksana tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Selamat Hari Jururawat Sedunia kepada wira dan wirawati yang tidak didendang.  Terima kasih kerana menjaga kita.  Semoga Allah SWT mengurniakan anda dengan sebanyak-banyak perlindungan, hidayah dan rahmat.