Buletin SalamWebToday
Sign up to get weekly SalamWebToday articles!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Kekalkan aura positif – bagaimana caranya?

Kesihatan 10 Feb 2021
Pilihan oleh Hanita Hassan
Kekalkan aura positif - bagaimana caranya?
Kekalkan aura positif - bagaimana caranya? © Pratchaya Leelapatchayanont | Dreamstime.com

Apabila kita berada dalam kalangan orang yang positif, terasa lapang dan tenang fikiran.  Tutur kata dan bicara yang lahir daripada lisan mereka baik-baik belaka.  Tidak ada yang tidak baik melainkan yang baik sahaja.

Begitu juga jika kita duduk di majlis-majlis ilmu, bersama orang yang berilmu dan penuh iman di dada.

Kekalkan aura positif – bagaimana caranya?

Persoalannya, bagaimana caranya untuk kita membina aura positif dalam diri sepanjang masa. Ia kerana hidup ini penuh dengan cabaran.  Kadang kala perkara kecil yang berlaku dalam hidup membuatkan kita melatah dan cepat marah.  Aura negatif yang terpancar daripada dalam diri akan mengganggu orang sekeliling.

Contohnya apabila kita cuba menghidupkan enjin kereta di waktu pagi untuk ke tempat kerja.  Tiba-tiba enjin kereta tersangkut-sangkut.  Sedangkan kita perlu hadir mesyurat penting di pejabat pagi itu.

Apabila isteri bertanya, tiba-tiba kita naik angin dan mengucapkan perkataan yang tidak sepatutnya diucapkan.  Sebab itu setiap kali kita hendak bercakap, teliti dan fikir dahulu kesannya.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Anas r.a, Rasulullah SAW telah bersabda:

“Iman seseorang tidak akan sempurna kecuali apabila hatinya bersih. Dan hati seseorang tidak akan bersih apabila lisannya terjaga daripada ucapan yang kotor dan keji.”

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat hendaklah dia mengucapkan perkataan yang baik atau (jika tidak dapat) lebih baik diam sahaja. Sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jiran tetangganya dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya.”

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis itu menjelaskan, antara kesempurnaan iman ialah seorang hamba sentiasa menuturkan kata-kata yang baik dan sedaya upaya menahan diri daripada bercakap kotor atau menyakitkan hati orang lain.

Aura sebagai potensi diri manusia

Setiap kita dilahirkan dengan kadar aura yang sama.  Walau bagaimanapun dalam frasa-frasa kehidupan dan peringkatan usia menjadikan kadar aura berbeza antara seorang dengan seorang yang lain.  Aura boleh didefinisi sebagai potensi diri yang dimiliki setiap manusia. Ia adalah cahaya tenaga tubuh yang terpancar daripada jiwa dan raga manusia.

Setiap yang wujud di alam ini daripada kaca mata sains sama ada manusia, haiwan, tumbuhan serta unsur alam semula jadi seperti batu, kayu dan besi terhasil daripada penyatuan berbilion sel atau atom yang membentuk menjadi sesuatu objek.

Atom terdiri daripada elektron negatif dan proton positif. Proton dan elektron ini adalah getaran elektrik serta magnet. Proton bergerak mengelilingi nukleus manakala elektron mengelilingi proton. Ruang antara atom bergerak digelar medan tenaga. Medan tenaga inilah yang memancarkan cahaya dalam spektrum cahaya yang boleh dilihat atau lebih dikenali sebagai aura.

Kita boleh mengenali orang yang mempunyai aura negatif melalui wajahnya yang sentiasa gelisah dan tidak tenang.  Jika di tempat kerja, sentiasa tidak bersemangat dan kurang disenangi.

Bagi anda yang ingin mewujudkan aura baik dalam diri, beberapa langkah ini mungkin boleh membantu diamalkan setiap hari.  Antaranya sentiasa senyum apabila berjumpa orang, tatap mata mereka apabila berbicara.

Aura yang hebat juga akan terpancar bila kita berfikir sebelum bercakap dan bertutur yang baik sahaja. Juga jangan bercakap terlalu pantas, jaga kesihatan dan jaga kebersihan diri.