Kekalkan istiqamah dan disiplin sewaktu Ramadan

Terus istiqamah sewaktu Ramadan © | Dreamstime.com

Waktu pantas berdetik sehingga kita tidak sedar sudah melintasi pertengahan Ramadan.  Dalam kecelaruan dunia mengharungi pandemik wabak COVID-19, kita masih mengekalkan disiplin diri dengan duduk di rumah. Tanpa hal yang penting, kita tetap di rumah.  Meskipun telah dibolehkan melakukan aktiviti ekonomi dan sosial di luar, namun langkah berjaga-jaga terus dilakukan.

Ramadan bergerak seadanya, tanpa bazar atau pasar Ramadan, yang menyedia pelbagai menu enak, tiada lagi berbuka di hotel atau restauran yang menyedia buffet Ramadan atau  persiapan hari raya.  Namun di sebalik semua kekangan itu, kita tetap tersenyum dan berlapang dada.

Mungkin ramai dalam kalangan kita yang masih berharap-harap agar masjid dan surau bakal dibuka semula sepenuhnya. Dengan trend kes dunia sedia ada, wabak COVID-19 dijangka akan berterusan untuk tempoh jangka masa yang agak lama, sudah tentu ia tidak akan berlaku dalam masa yang terdekat.  Namun kita bersyukur kerana masih diberi kekuatan untuk melakukan ibadah di rumah.

Terasa tenang Ramadan kali ini kerana malam-malam harinya diisi dengan solat berjemaah dan solat sunat tarawih di rumah.  Baharulah kita terasa rumah itu adalah syurga. Kita dapat lakukan semua bersama-sama.  Esok lusa apabila semuanya kembali pulih, apabila kita mengenang saat indah itu, ia akan menjadi memori yang sangat berharga.

Rupa-rupanya bukan mudah berdiri di ruang imam bagi mengimami makmum walaupun mereka ahli keluarga sendiri.  Oleh kerana itulah, Allah SWT mewajibkan hamba-hamba-Nya untuk menuntut ilmu. Ilmu adalah kunci kejayaan untuk mencapai keselamatan, kesejahteraan dan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran, ayat 18: “Allah menerangkan kepada sekalian makhluknya dengan dalil dan bukti bahawa tiada Tuhan berhak disembah melainkan Dia, yang mentadbir seluruh alam dengan keadilan, demikian juga para malaikat serta orang-orang yang berilmu berikrar dan mengakui juga bahawa tiada Tuhan melainkan Dia yang Maha Perkasa lagi Bijaksana.”

Aktiviti membaca al-Quran sekiranya diimarahkan setiap malam, kita sudah makin hampir  untuk khatam 30 juzuk sebelum Ramadan mengundur diri.  Kalau kita tidak pernah tahu kelebihan membaca al-Quran, inilah masanya untuk belajar dan mengenali seribu satu kebaikan al-Quran apabila berdamping dengannya.

Kita bersyukur kerana adanya media sosial seperti Facebook dan Instagram yang telah membawa tenaga pengajar al-Quran terus ke rumah.  Begitu banyak kelas mengaji dibuka secara percuma dalam talian sepanjang Ramadan.  Semoga Allah SWT limpahkan rahmat kepada semua tenaga pengajar al-Quran yang bermurah hati berkongsi ilmu.

Kesedaran mengaji dan mengajar tajwid secara terbuka telah membantu sesetengah daripada kita.  Mungkin juga faktor usia dan masa telah menjauhkan kita dengan kalam Allah SWT ini.  Namun kita tidak boleh berhenti belajar selagi kita diberi kesempatan dan kelapangan waktu.

“Dia (Allah) memberikan hikmah kepada sesiapa yang dikehendakinya, dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya dia telah diberikan kebajikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran melainkan orang-orang yang mempunyai akal yang dapat memikir dan memahaminya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 269)

Marilah kita kekalkan disiplin, terus istiqamah mengerjakan ibadah sepanjang Ramadan. Semoga kita diberi kesempatan oleh Allah SWT bertemu malam Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!