Kekayaan dalam Islam

Kehidupan Hanita Hassan 10-Jul-2020
Kekayaan dalam Islam © Sergey Klopotov | Dreamstime.com

Kekayaan daripada kaca mata biasa ialah rumah besar dan kereta mewah. Mempunyai wang beratus ribu atau berjuta di dalam akaun bank, emas, berlian  serta rangkaian perniagaan berjenama dunia.

Hari ini, sebanyak mana pun harta yang kita perolehi, sebenarnya ia tidak pernah cukup. Semakin kita mencari, mengejar dan mengumpul harta, semakin ia berkurang. Itulah hakikat pemikiran dan pandangan manusia biasa.

Dalam konteks Islam, tafsiran kaya itu berbeza. Kekayaan bukan dikira pada  banyaknya jumlah harta yang telah kita kumpul. Sepertimana sabda Rasulullah SAW yang maksudnya: “Bukanlah kekayaan itu kerana banyaknya harta, akan tetapi kekayaan itu adalah kaya hati (jiwa).”  (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad)

Kekayaan sebenarnya adalah kekayaan jiwa. Apabila kita sentiasa berasa cukup dengan apa yang kita ada. Reda dan tidak tamak dalam mencari dan mengumpul harta.

Walau bagaimanapun, Islam tidak pernah menghalang kita untuk mencipta kecemerlangan atau mengumpul kekayaan dunia.  Umat Islam perlu berjaya supaya dengan harta yang diperolehi itu boleh membantu diri dan keluarga, ibu bapa, adik-beradik serta lebih ramai Muslim lain yang memerlukan.

Sumbangan yang kita salurkan boleh mengubah kehidupan asnaf daripada kumpulan yang mendapat bantuan kepada pemberi bantuan. Justeru kita perlu memperbetulkan niat dan berusaha mendapatkan harta melalui cara yang dibenarkan (halal) bukan jalan pintas (haram) seperti menipu, mengambil rasuah atau menindas.

Nabi  Muhammad SAW bersabda: “Aku melihat ke dalam syurga, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya daripada kalangan orang fakir miskin. Dan (apabila) aku melihat ke dalam neraka, maka aku dapat melihat kebanyakan penghuninya daripada golongan wanita.”  (Hadis Muttafaqun’alaih)

Apabila kita mempunyai lebihan pendapatan, kita berupaya mengeluarkan jumlah zakat yang lebih banyak.  Dengan ini, lebih ramai asnaf yang memerlukan dapat menikmati faedah daripada kekayaan yang kita miliki.

Di samping zakat, kita juga digalakkan memperbanyakkan sedekah dan mengeluarkan wakaf agar golongan yang memerlukan tetapi tidak layak menerima zakat mendapat manfaatnya.  Selain itu, ruang untuk melakukan jariah dan sedekah cukup luas merangkumi pelbagai keperluan kehidupan manusia.

Nabi SAW bersabda:  “Ada tujuh perbuatan yang diterima pahalanya sampai sesudah mati:  Orang yang membangunkan masjid, dia tetap menerima pahala selagi ada yang solat di dalamnya, orang yang mengalirkan air sungai selagi ada yang meminum airnya, orang yang menulis mashaf, selagi ada yang membacanya.

Orang yang menggali perigi, selagi ada yang memanfaatkan airnya, orang yang menanam tanaman, selagi dimakan manusia atau burung, orang yang mengajarkan ilmu berguna, selagi diamalkan orang mempelajarinya dan orang yang meninggalkan anak soleh mendoakan dan membaca istighfar baginya, yakni jika dikurniakan anak lalu diajarkan ilmu dan al-Quran.

Ayahnya akan mendapat pahala selagi anak itu melaksanakan ajarannya tanpa mengurangi pahala anak itu sendiri, sebaliknya jika dibiasakan berbuat fasik, dia mendapat dosa tanpa mengurangi dosa orang yang berbuat pekerjaan itu sendiri.”  (Hadis Riwayat Ibnu Khuzaimah, Baihaqi dan Ibnu Majah).

Sesungguhnya pemahaman yang mendalam tentang bagaimana mengurus kekayaan amat perlu supaya kita tidak sesat jalan dalam mencari keredaan Allah SWT.  Semoga bermanfaat.