Kekayaan juga untuk dikongsi

Kehidupan Hanita Hassan 18-Jun-2020
Anak-anak dan duit raya © Khaffizzul Abdullah | Dreamstime.com

Harta kekayaan yang kita miliki di dalamnya ada rezeki orang lain.  Kita selalu mendengar ungkapan itu. Allah SWT menjadikan adanya golongan kaya dan miskin untuk saling membantu.  Ia adalah pelengkap kesempurnaan.  Semakin banyak  memberi, semakin banyak Allah gandakan rezeki kita.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami uji sebahagian daripada mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang yang kaya itu berkata (kepada orang fakir miskin yang beriman): Inikah orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? (Allah berfirman): Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang yang bersyukur?” (Surah al-Ankabut, ayat 53)

Apabila kita diberi kelebihan dengan rezeki yang melimpah-ruah, gunakanlah peluang ini untuk membantu orang fakir dan miskin atau yang memerlukan.  Berkongsi kekayaan dengan golongan seperti ini adalah salah satu cara untuk kita bersyukur dengan pemberian Allah SWT.

Semakin kita memberi, kita akan dikurnia dengan ketenangan.  Hati kita menjadi lapang dan lebih gembira terutama melihat keceriaan wajah mereka yang menerima pemberian kita.

Rasulullah SAW pernah berpesan supaya jangan bimbang untuk berkongsi.  Ini kerana dalam rezeki kita ada rezeki orang lain yang memerlukan.  Apabila kita melihat kesengsaraan dan mendengar tentang kebuluran manusia di mana-mana ceruk dunia, hulurkan tangan dengan segera.  Sekiranya tidak berupaya membantu dengan tenaga, sumbanglah dengan harta benda kita.

“Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: “Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi dari orang-orang yang soleh.” (Surah al-Munaafiquun, ayat 10)

Allah SWT juga telah berfirman yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya mengenai orang yang berdusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2)

Bagi mereka yang diuji dengan kemiskinan dan kesusahan, sentiasalah bersabar.  Setiap ujian Allah SWT itu sebagai tanda kita dipandang dan disayangi.  Ujian dihadirkan kepada kita untuk melihat sejauh mana tahap kesabaran ketika berdepan dugaan dan masalah. Ingatlah, setiap orang yang berusaha pasti mendapat kejayaan.

Janganlah kita menyalahkan takdir Allah SWT.  Kaya bukan bermaksud mulia dan miskin pula bukan bererti hina. Keimanan seseorang tidak diukur dari sudut banyak atau sikit harta dimiliki, sebaliknya berdasarkan keimanan serta ketakwaannya.

Sesungguhnya dengan berkongsi kekayaan, kita bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan.  Kita juga membantu diri sendiri mengumpul saham akhirat di negeri abadi nanti.

Bukalah mata hati, lihat sekeliling. Tanyalah khabar jiran-jiran, adik-beradik dan sahabat handai yang sedang menghadapi situasi sukar akibat COVID-19.  Semoga dengan bantuan anda yang sedikit, boleh membantu mereka membeli beras dan makanan keperluan asas lain.

Kita berdoa agar mereka diilhamkan Allah SWT untuk melakukan sesuatu  bagi meneruskan kehidupan pada saat sukar ini.