Kelangsungan hidup dan ‘survival’ 2020 kini

'Survival' dunia 2020 © Josetandem | Dreamstime.com

Tahun 2020 akan menjadi titik hitam dalam babak kehidupan setiap daripada kita di seluruh dunia. Bagi rakyat Malaysia, setelah sekian lama saat ini kita nantikan untuk melihat wajah kemajuan yang telah digagaskan untuk tanahair tercinta.  Akhirnya ia datang dalam situasi yang di luar jangka.

Dunia dikejutkan dengan kehadiran satu makluk ciptaan Allah SWT iaitu satu virus baharu yang begitu bijak, yang sangat pantas menyebarkan sporanya sehingga berjaya menyeberangi sempadan dari Timur Asia ke Eropah dan akhirnya ke seluruh dunia.

Norma-norma kehidupan tiba-tiba berubah apabila kita terpaksa dikurung di rumah dalam satu jangka masa yang agak panjang untuk memutuskan rantaian wabak tersebut .  Ia  sekali gus memerlukan kita melakukan pengubahsuaian diri,  Ini termasuklah dalam aspek kerjaya, rumah tangga dan pengurusan kewangan untuk menyambung hayat dan kemandirian survival kita.

Pasca COVID-19 telah menyaksikan peralihan ekonomi sehingga membawa kita kepada perubahan gaya hidup, teknologi dan komunikasi yang lebih pantas dan maksimum dalam semua sektor termasuk pembayaran zakat fitrah dan aktiviti jual beli dalam talian.

Ketika banyak negara masih melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Malaysia telah mengumumkan kelonggaran kawalan dengan membenarkan pengoperasian semula semua sektor ekonominya pada tahap maksimum berkuatkuasa 4 Mei 2020.

Bagi umat Islam yang sudah hampir dua bulan tidak menunaikan solat Jumaat, ditambah dengan kehadiran Ramadan, yang hanya membolehkan kita melakukan solat tarawih di rumah, kita masih menaruh harapan agar kelonggaran diberikan kepada umat Islam untuk menggunakan semula rumah Allah SWT yang telah ditutup sejak 18 Mac lalu.

Tiada lagi kemeriahan sambutan Ramadan.  Tiada lagi keriuhan anak-anak pulang ke kampung bertemu datuk dan nenek, berkumpul dengan pakcik serta makcik dan sepupu masing-masing seperti tahun-tahun sudah.  Tiada lagi bazar Ramadan dan kemeriahannya membuat persiapan hari kemenangan menjelang 1 Syawal nanti.

Sesungguhnya kita hanya merancang. Allah SWT jua yang sebaik-baik perancang.  Inilah ujian dan cabaran sebenar yang didatangkan untuk kita meningkatkan keupayaan diri.    Boleh jadi perubahan ini akan menjadikan kita  manusia yang lebih baik pada hari ini dan masa hadapan.

Allah SWT berfirman: “…boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu, Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”  (Al-Baqarah, 216)

Sesungguhnya kita perlu tanamkan dalam diri keberanian yang tinggi supaya tidak berputus asa dan berupaya mengharungi krisis ini. Kita rancang semula kehidupan mengikut norma-norma kehidupan baharu kini.  Semua ini memerlukan kita berfikir dan mencari jalan dalam kebijaksanaan.

Begitulah yang ditekankan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) Hari Akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Al-Ahzab, 21)