Kelas secara dalam talian – beradab supaya peroleh berkat

Teknologi Siti Nur Baiin Che Harun
Siti Nur Baiin Che Harun
Kelas secara dalam talian - beradab supaya peroleh berkat
Kelas secara dalam talian - beradab supaya peroleh berkat © Nirat Makjuntuk | Dreamstime.com

Yusuf bin Al-Husain ar-Razi berkata: “Dengan adab, engkau akan memahami ilmu”.

Dalam menangani isu COVID-19 ini, ramai yang terkesan baik ibu bapa, anak, pelajar, atau para pendidik. Akan tetapi, walau apa pun yang kita hadapi, proses pengajaran dan pembelajaran kita masih perlu diteruskan walaupun secara dalam talian.

Oleh itu, amalkan adab-adab dan ingati semula tanggungjawab dalam menuntut ilmu menambahkan lagi keberkahan ilmu dalam diri kita.

Memelihara adab dengan guru

Dalam satu kisah diriwayatkan, ketika Imam Syafie menuntut ilmu bersama Imam Malik, beliau tidak berani menyelak helaian kitabnya melainkan dengan cara yang sangat perlahan kerana bimbang bunyi itu mengganggu gurunya.

Imam Rabi’ pula tidak berani minum walau seteguk air sekalipun di hadapan Imam Syafie kerana sangat hormat kepada gurunya. Ini menunjukkan betapa besarnya kedudukan seorang pendidik. Hormati dan rai guru kita adalah amalan yang sangat dicintai oleh Rasulullah SAW.

Bahasa dan komunikasi

Elemen ini turut memainkan peranan dalam pengendalian kelas secara maya ini. Penggunaan ikon dalam ruangan chat, gunalah ikon atau sticker yang beradab dan beretika.

Elakkan dari bersembang kosong di ruangan chat ketika guru sedang mengajar. Hal ini adalah sangat tidak beradab menurut Islam. Konsentrasi terhadap ilmu yang disampaikan oleh guru juga akan hilang.

Tekan ikon ‘angkat tangan’ sebagai isyarat untuk bertanyakan soalan dan gunakan bahasa yang sopan dan sebaiknya. Setiap pelajar perlu bersedia untuk berinteraksi dan memberi respon jika guru bertanyakan soalan. Tidak membiarkan suasana sunyi tanpa sebarang maklumbalas.

Berdisiplin dalam pengurusan masa

Jangan pernah memandang enteng tentang masa. Ini menjelaskan setiap individu mempunyai amanah besar dalam pengurusan masa. Dalam konteks ini, adalah satu keperluan bagi pelajar untuk membuat persiapan awal sebelum mengikuti kelas dalam talian.

Disiplinkan dan didik diri untuk hadir ke kelas secara maya lebih awal atau tepat pada waktunya seperti mana yang dipraktiskan semasa menghadiri kelas fizikal.

Siap siagakan diri, sediakan alat peranti dan platform yang bersesuaian sebelum kelas dimulakan.

Cakna dan bertanggungjawab sebagai pelajar

Ambil tahu tentang persediaan yang perlu dilakukan sebelum kelas dimulakan, baca dan faham sebelum hadir ke kelas untuk lebih bersedia. Sikap bertanggungjawab sebagai seorang penuntut ilmu, adalah perkara yang penting.

Sentiasa cakna tentang tanggungjawab kita sebagai individu juga sebagai ahli kumpulan. Laksanakan tugasan dengan penuh tanggungjawab. Bertanya jika tidak faham.

Selain itu juga, terus mencari dan menambah ilmu untuk terus belajar bagaimana cara untuk menyertai kelas dalam talian. Jangan berdiam diri dan hanya mengharapkan pengajar semata yang mencari kita.

Belajar dengan rakan-rakan atau dari YouTube dari semasa ke semasa teknik dan cara mengendalikan platform yang digunakan. Beri peluang pada diri sendiri untuk menuntut ilmu terknologi terkini. Keperluan untuk mengadaptasi penggunaan IT di musim pandemik ini juga sangat penting.

Fokus dan catat semasa kelas

Tidak dinafikan, terdapat pelbagai gangguan dan kekangan semasa kelas atas talian ini. Akan tetapi, cuba kita selami dan buat taksiran, pendidik kita juga bersusah payah dengan komitmen anak-anak dan keluarga yang tidak dapat ke sekolah pada waktu ini yang juga perlu diuruskan.

Belum lagi guru-guru kita yang sudah berumur. Berikan kerjasama dan mudahkan urusan pendidik kita. Akhir sekali, ucaplah ucapan terima kasih sebagai penghargaan buat pendidik kita.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.