Kelaziman baru di sektor awam dan swasta bermula Isnin

Kehidupan Ahmad Mahmud 01-Mei-2020
Sama-sama kita cegah COVID-19 © Abdul Razak Abdul Latif | Dreamstime.com

Sektor awam dan swasta akan beroperasi semula mulai 4 Mei, Isnin depan yang akan melihat keadaan baru di tempat kerja. Pelaksanaan terkini Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini antara lain akan menyaksikan dan masih meneruskan bekerja dari rumah, selain mematuhi jadual kerja secara bergilir-gilir.

Langkah-langkah tersebut dibuat di bawah PKPB bagi membolehkan permulaan semula kegiatan ekonomi di seluruh negara. PKPB akan memastikan pendekatan terkawal dan berhati-hati terus dapat diamalkan bagi terus melandaikan keluk dan mengekang jangkitan wabak COVID-19 di waktu kelaziman baru ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui perutusan khasnya sempena Hari Pekerja mengatakan, kerajaan mengesyorkan para penjawat sektor awam untuk bekerja dari rumah, kecuali untuk kerja-kerja yang memerlukan kehadiran di pejabat secara fizikal.

Katanya, perjumpaan juga digalakkan diadakan secara dalam talian melalui media yang selamat dan bagi mereka yang mempunyai masalah penjagaan anak, kerajaan membenarkan pekerja bekerja secara bergilir selain memerhatikan waktu kerja yang fleksibel.

Semua ketua jabatan perkhidmatan awam disarankan agar mengadakan perbincangan di peringkat jabatan untuk menyusun semula tenaga kerja masing-masing. Dan keutamaan mesti diberikan kepada konsep bekerja dari rumah.

Merujuk kepada pembukaan pelbagai sektor ekonomi, semua majikan digalakkan untuk terus membenarkan pekerja bekerja dari rumah. Selain itu, rancang juga jadual bekerja di pejabat dan juga dari rumah secara bersilih ganti.

Muhyiddin menambah, ini juga dapat membantu menyelesaikan masalah menjaga anak-anak di rumah. Walaupun pusat jagaan kanak-kanak dibuka dengan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) kesihatan yang khusus, masih banyak lagi ibu bapa yang bimbang untuk menghantar anak mereka.

Perdana Menteri turut berkata, langkah itu secara tidak langsung akan mengurangkan bilangan anak di pusat jagaan kanak-kanak, selain daripada memberi kemudahan kepada pihak pengurusan untuk menguruskan kanak-kanak mengikut SOP kesihatan yang ditetapkan.