Kelebihan Faraid menurut kaca mata Islam

Islam Zalika Adam
Pilihan oleh Zalika Adam
Kelebihan Faraid menurut kaca mata Islam
Kelebihan Faraid menurut kaca mata Islam © Imran Kadir | Dreamstime.com

Definasi ‘Faraid’ menurut Kamus Dewan ialah ‘Pengetahuan atau hukum tentang pembahagian harta pusaka mengikut peraturan Islam’.

Menurut istilah di dalam syarak, Faraid adalah pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam yang telah ditetapkan di bawah hukum syarak ke atas waris-waris yang sah dan layak seperti (anak, isteri, suami, ibu, bapa dan lain-lain).

Faraid menurut kaca mata Islam

Harta yang dibahagikan kepada waris-waris adalah baki harta yang ditinggalkan selepas ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang-hutang pewaris sama ada dalam bentuk zakat, nazar dan sebagainya. Juga segala hutang kepada manusia dan menunaikan wasiat yang dibenarkan syarak.

Allah SWT berfirman:

“Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu; iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”

(Surah al-Nisa’, ayat 7)

Satu lagi firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dalam pada itu, orang-orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas setengahnya yang lain menurut (hukum) Kitab Allah; sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”

(Surah al-Anfal, ayat 75)

Kelebihan Faraid

Sebagai seorang Muslim, wajib mengamalkan sistem Faraid sebagaimana yang digariskan oleh Islam. Antara kelebihan Faraid ialah:

Pertama: Memudahkan urusan kehidupan si waris apabila si mati meninggal dunia, seperti suami meninggalkan isteri dan anak-anak. Sekurang-kurangnya, kehidupan waris terbela dan dapat menggunakan wang perbelanjaan yang ditinggalkan.

Kedua: Memberikan keadilan kepada pihak ahli waris, supaya tiada pergaduhan timbul di kalangan mereka.

Ketiga: Perwarisan di kalangan keluarga terdekat; iaitu perwarisan yang berlaku antara kaum kerabat terdekat dengan pewaris seperti suami isteri, dua ibu bapa, anak-anak, saudara-mara, bapa-bapa saudara dan dhawi al-arham (pendapat: Abu Hanifah dan Ahmad bin Hanbal).

Keempat: Mewajibkan semua ahli-ahli waris (al-Ijbar) menerima harta pusaka secara faraid dan pewaris tidak boleh menegah salah seorang ahli-ahli waris daripada menerima harta pusakanya, malah ahli-ahli waris wajib menerima harta pusaka segera selepas kematian, kecuali dia melepaskan haknya.

Kelima: Memberi perimbangan (at-Tawazun) kepada pemilik harta untuk melupuskan hartanya atas kadar 1/3 selepas kematian dalam bentuk wasiat untuk kebajikan, dan 2/3 lagi untuk ahli-ahli waris sebagai harta pusaka mengikut hukum syarak.

Keenam: Mengelakkan monopoli harta oleh beberapa ahli keluarga sahaja tanpa memberikan hak kepada ahli waris yang lain.

Kadar syarat bagi ahli waris

Antara kadar syarat yang ditetapkan Islam ialah:

Suami kepada si mati

1/2: Tidak mempunyai anak atau tidak mempunyai cucu dari anak lelaki.

1/4: Mempunyai anak atau cucu dari anak lelaki.

Isteri kepada si mati

1/4: Tiada anak atau tiada cucu dari anak lelaki.

1/8: Mempunyai anak atau mempunyai cucu dari anak lelaki.

Anak perempuan si mati

1/2: Hanya seorang sahaja dan tidak ada anak lelaki.

2/3: 2 orang anak perempuan atau lebih dan tiada anak lelaki

Justeru, Islam amat mengambil berat tentang pembahagian harta pusaka terhadap umat Islam. Hal ini dapat memudahkan urusan faraid dijalankan tanpa sebarang diskriminasi. Setiap waris berhak mendapat faraid sepertimana yang dijelaskan dalam al-Quran.

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.