Kelebihan Mengembara dan Bermusafir Dalam Islam

SalamToday yakin pasti ramai di antara kita yang gemarkan aktiviti mengembara atau berlibur tatkala mendapat cuti yang panjang.

Malah ada yang wajib mengembara setiap bulan untuk memenuhi misi mereka menjejakkan kaki ke destinasi yang belum pernah dikunjungi.

Sebenarnya mengembara sangatlah digalakkan di dalam Islam. Malah di dalam  Al- Quran juga terdapat ayat yang menceritakan tentang mengembara.

Di dalam surah Al-Mulk ayat 15 ada menyatakan bahawa ;

Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah dari rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula.

Antara kelebihan yang kita dapat perolehi daripada mengembara adalah kita dapat melihat betapa hebatnya kebesaran Allah SWT yang menciptakan alam.

Selain itu, kita juga dapat menghayati dengan lebih mendalam tentang perjuangan para anbia dengan melawat tempat-tempat bersejarah yang pernah didiami oleh para nabi, rasul serta para sahabat dalam menegakkan syiar Islam.

Mengembara ke tempat lain juga dapat menerbitkan perasaan syukur dalam diri akan nikmat serta keamanan yang ada di tempat kita.

Lebih banyak kita mengembara, maka lebih ramai orang yang akan kita jumpa dan berkenalan. Ini sekaligus dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia tidak kira agama, budaya atau warna kulit.

Apa yang lebih penting, setiap kali mengembara, pasti kita akan perolehi ilmu yang baru tidak kira sama ada dari segi budaya, geografi, agama mahupun sejarah.

Jangan lupa juga, Rukun Islam kelima adalah menunaikan haji jika mampu dan ia memerlukan kita mengembara jauh dari segala keselesaan yang kita ada. Renungkanlah betapa besarnya ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT kepada kita apabila melakukan ibadah haji.

Selain daripada semua kelebihan ini, tambahlah keberkatan perjalanan kita dengan menunaikan solat sunat musafir dan memanjatkan doa perjalanan. Sama ada untuk perjalanan jauh ataupun dekat, Islam menggalakkan umatnya untuk berdoa semasa bermusafir. Tidakkah kita mahu dilindungi Allah sepanjang perjalanan kita? Dan begitu juga dengan keadaan isi rumah dan tempat asal kita semasa ketiadaan kita.  Pasti kita mahukan keselamatan untuk mereka juga.

Menurut laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan, kita digalakkan untuk berdoa semasa menaiki kenderaan dan sebelum memulakan perjalanan.

Doa ini dinaskan oleh Allah Taala sendiri di dalam al-Quran dengan firman-Nya:

وَالَّذِي خَلَقَ الْأَزْوَاجَ كُلَّهَا وَجَعَلَ لَكُم مِّنَ الْفُلْكِ وَالْأَنْعَامِ مَا تَرْكَبُونَ (12)  لِتَسْتَوُوا عَلَىٰ ظُهُورِهِ ثُمَّ تَذْكُرُوا نِعْمَةَ رَبِّكُمْ إِذَا اسْتَوَيْتُمْ عَلَيْهِ وَتَقُولُوا سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَٰذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ (13) وَإِنَّا إِلَىٰ رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ (14)

 

Maksudnya: Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya; dan Ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya, Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan:” Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -“Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!”

(Surah al-Zukhruf, 43:12-14)

 

Imam al-Alusi rahimahullah (w.1342H) Berkata : “Maksudnya ialah bahawa sesungguhnya kita tidak memiliki kekuatan untuk menentukan arah tuju haiwan tungangan mahupun alam semesta hanya Allah sahajalah yang mampu untuk berbuat demikian”

Rujuk Tafsir Ruhul Ma’ani (14/106)

 

Imam Ibnu Kathir berkata : “Iaitu ia bermakna kekuatan,kalau tidak kerana bantuan daripada Allah SWT kepada kita,tidaklah mampu kita melakukan apa-apa”. Berkata Ibnu Abbas Qatadah dan Assadi dan juga Ibnu Zaid bahawa yang dimaksudkan dengan “مقرينين” adalah yang mampu atau boleh dikawal.

Rujuk Tafsir al-Quran al-Azhim (4/106)

Ayat-ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Allah-lah yang memudahkan perjalanan kita tatkala kita bergantung harap kepada-Nya. Begitu juga ini menunjukkan Allah-lah berikan kemudahan untuk mengendalikan kenderaan sekalipun seseorang itu memang terlatih untuk mengendalikan satu-satu kenderaan, kebergantungan kepada Allah SWT amat perlu kerana hakikatnya Dialah yang menguasai setiap sesuatu.

Begitu juga dalam riwayat lain yang masyhur bahawa Ibn Umar R.Anhuma menyebut Rasulullah SAW berdoa jika ingin bermusafir, Baginda akan duduk tetap di atas binatang tunggangannya lalu apabila tunggangannya mula bergerak, Baginda membaca:

اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ، اللَّهُ أَكْبَرُ سُبْحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ، اللهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِي سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى، وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى، اللهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا، وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ، اللهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِي السَّفَرِ، وَالْخَلِيفَةُ فِي الْأَهْلِ، اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ، وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِي الْمَالِ وَالْأَهْلِ

Maksudnya: “Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Allah Maha Besar! Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -“Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!” Ya Allah! Kami mohon daripada-Mu agar permusafiran kami ini di atas kebaikan dan ketaqwaan, dan dikira sebagai amalan yang Engkau redha. Ya Allah kami mohon agar musafir ini menjadi ringan atas kami, Engkau lipatkanlah jaraknya (supaya menjadi pendek). Ya Allah! Engkaulah Peneman ketika musafir! Penjaga bagi ahli keluarga yang ditinggalkan! Ya Allah! Kami mohon agar engkau peliharalah kami daripada kesusahan ketika musafir, pemandangan yang mendukacitakan dan kepulangan yang buruk pada harta dan keluarga.”

Hadis riwayat Muslim (1342), Ahmad (6311), Abu Daud (2599) dan lain-lain.

 

Jadi, bagaimana? Jika berpeluang, pergilah berkelana melihat ciptaan Tuhan di luar kawasan kebiasaan kita, dan jangan lupa untuk memulakan perjalanan dengan doa yang dianjurkan.

 

Foto: Helmi Anuar,  Vaida Tamošauskaitė di  Unsplash dan Suhyeon Choi di Unsplash