Kelebihan puasa dari sudut kesihatan

Kehidupan Abi Aasim 13-Mei-2020
Ibadah puasa dekatkan diri dengan Allah SWT © Nuttawut Uttamaharad | Dreamstime.com

Ibadat berpuasa adalah suatu ibadah yang terkandung di dalam Rukun Islam. Ibadah puasa adalah dituntut dan jika sengaja meninggalkannya kita akan mendapat dosa dan kemurkaan Allah SWT. Puasa bukan sahaja dapat mendekatkan diri dengan Allah, tetapi banyak kelebihannya dari sudut kesihatan.

Antara kelebihan berpuasa dari sudut kesihatan ialah:

Menjadi penawar buat penyakit yang ringan dan sederhana – Puasa Ramadan menjadi saranan ideal dalam Kongres Antarabangsa Kesihatan dan Ramadan oleh Yayasan Hassan II yang diadakan di Casablanca, Maghribi pada 1994, di mana 50 kertas kerja penyelidikan dari seluruh dunia telah dibentangkan. Hasil dapatan kongres mendapati saranan berpuasa dapat merawat dan mengawal penyakit ringan bertahap sederhana seperti kencing manis, darah tinggi dan penurunan berat badan.

Memberi rehat kepada sistem pencernaan – Lazimnya sistem pencernaan manusia memerlukan masa tujuh hingga 8 jam bagi memproses makanan yang dimakan. Dalam tempoh berpuasa, sistem pencernaan dapat berhenti sebentar di siang hari. Secara umumnya, tempoh berpuasa Ramadan ialah sekitar 14 hingga 16 jam sehari bergantung kepada negara.

Mengurangkan simptom Gastroesophageal Reflux Disease (GERD) – Penyakit GERD ini adalah suatu penyakit yang berpunca daripada perut. Antara simptom penyakit ini ialah mual, pedih ulu hati dan perut kembung yang berlarutan.

Membantu meninggalkan atau mengurangkan amalan yang kurang baik seperti merokok – Pada bulan puasa ini, ramai perokok dapat mengurangkan atau menghentikan terus tabiat merokok mereka. Umum mengetahui berhenti merokok adalah sukar kerana ketagihan perokok kepada nikotin. Namun, ketika Ramadan terbukti perokok mampu mengatasi ketagihan nikotin ini dengan daya keazaman mental yang tinggi. Puasa bukan sahaja mampu meningkatkan kesihatan fizikal, malah turut memberi kesan positif kepada kesihatan mental.

Sebagai seorang Muslim, yakinlah pada ibadah puasa yang telah diturunkan kewajipannya ke atas kita. Pastinya selain meningkatkan keimanan kepada Allah SWT, pelbagai kebaikan dari sudut kesihatan juga turut dapat kita rasai.