Kelebihan Puasa Sunat 10 Muharam (Hari Asyura)

Hari Asyura merupakan salah satu hari yang diraikan oleh umat Islam. ‘Asyura’ berasal daripada perkataan Arab ‘asyara’ yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan Hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu pada 10 Muharam.

Mengikut masyarakat Islam, hari Asyura iaitu pada 10 Muharam telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Disebabkan itu, masyarakat Islam menghormati hari tersebut seperti juga yang diamalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W.

Menurut tradisi masyarakat Islam, Rasulullah S.A.W. melakukan puasa Asyura sejak di Makkah lagi memandangkan puasa Asyura merupakan amalan biasa masyarakat tempatan. Apabila baginda berhijrah ke Madinah, baginda turut mendapati yang kaum Yahudi turut berpuasa pada hari Asyura (atau bagi mereka adalah Yom Kippur yang juga pada hari kesepuluh). Ketika itu, baginda mengesahkan dan mensyariatkan puasa sehingga ia menjadi satu kewajiban kerana baginda merasakan masyarakat Islam lebih dekat dengan Nabi Musa. Ibn Hajar Al-Asqalani, dalam pernyataannya di dalam Sahih Bukhari  mengatakan yang syariat puasa telah dijadikan kepada bulan Ramadhan setahun kemudian. Kini, masyarakat Islam melakukan puasa Asyura pada 10 Muharam sebagai amalan sunat dan bukan kewajiban.

Galakan puasa Asyura di 10 Muharam ini disebut melalui hadis Nabi Muhammad S.A.W.,  AisyahR.A. berkata yang bermaksud: “Rasulullah S.A.W telah mengarahkan supaya berpuasa pada hari Asyura, dan apabila difardukan puasa Ramadan, maka sesiapa yang hendak berpuasa (hari Asyura) maka dia boleh berpuasa dan sesiapa yang hendak berbuka maka dia boleh berbuka (tidak berpuasa)”. (Riwayat al-Bukhari & Muslim).

Pada 10 Muharam di sesetengah negeri dan kawasan penduduknya turun-temurun membuat bubur asyura. Ia adalah sejenis makanan yang diperbuat daripada pelbagai campuran ramuan sempena puasa Asyura pada 10 Muharam. Ada yang mengatakan, campuran ramuan hendaklah terdiri daripada 10 jenis bahan makanan, jangan dikurangkan dan jangan dilebih. Jika tidak, ia bukan bubur asyura.

Sebab itulah Rasulullah S.A.W. menejelaskan ganjaran atau kelebihan bagi mereka yang melakukan puasa Asyura pada tarikh 10 Muharam. Sesungguhnya kelebihan yang dijanjikan oleh Rasulullah S.A.W. bagi sesiapa yang berpuasa Asyura amatlah besar. Antaranya, seperti diriwayatkan oleh Qatadah yang bermaksud: Bahawasanya Rasulullah S.A.W. ditanya tentang puasa hari Asyura, lalu baginda menjawab : “Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu”. (Riwayat al-Tarmizi)

Marilah sama-sama kita mengerjakan puasa Asyura yang hanya boleh dilaksanakan setahun sekali sahaja. Jika ada yang meraikan dengan memasak bubur Asyura, semoga kalian dapat menahan godaan dan terus kekal berpuasa sehingga waktu berbuka. Puasa Asyura pada 10 Muharam hanya boleh dilaksanakan sekali dalam setahun, tetapi bubur Asyura boleh dinikmati pada bila-bila masa.