Buletin SalamWebToday
Daftar untuk mendapatkan artikel SalamWeb Today setiap minggu!
Maafkan kami, ralat berlaku disebabkan oleh:
Dengan melanggan, anda bersetuju dengan Syarat dan Dasar Privasi SalamWeb
 Seni Buletin

Kelebihan solat berjemaah – peringatan ringkas

Islam 25 Dis 2020
Terkini oleh Abi Aasim
Kelebihan solat berjemaah - peringatan ringkas
Kelebihan solat berjemaah - peringatan ringkas © Kamarul Hafiz | Dreamstime.com

Ibadah sembahyang atau solat merupakan ibadah yang wajib dilakukan oleh setiap umat Islam. Sudah pasti, kelebihan solat berjemaah itu adalah sesuatu yang mahu kita capai.

Ibadah solat merupakan rukun Islam kedua. Kewajipan bersolat perlu dilakukan sebanyak lima kali sehari di dalam waktu yang telah ditetapkan. Menurut al-Quran dalam surah al-Baqarah, 2 ayat 238:

“Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”

Kelebihan solat berjemaah

Ibadah solat boleh dilakukan secara bersendirian ataupun secara berjemaah. Sudah pastinya sembahyang berjemaah adalah lebih baik. Malah di dalam sebuah hadis, Rasulullah pernah bersabda bahawa menunaikan solat berjemaah akan mendapat kelebihan ganjaran 27 kali ganda berbanding solat bersendirian.

Antara kelebihan solat jemaah ialah:

  • Mendapat pahala seperti mengerjakan haji
  • Diangkat martabat dan kedudukannya oleh Allah SWT
  • Mendapat perlindungan dari Allah SWT pada hari kiamat
  • Menghidupkan sunah Nabi Muhammad SAW
  • Terlepas dari siksa api neraka dan bebas dari menjadi orang munafik

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang sembahyang kerana Allah selama 40 hari dengan berjemaah dan mendapat takbir yang pertama. Ditulis bagi orang itu dua pelepasan, pelepasan daripada neraka, dan pelepasan daripada menjadi orang munafik.”

(Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Dalam hadis ini, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa orang yang dapat berjemaah bersama-sama imam dari takbir pertama hingga akhir sembahyang selama 40 hari dilakukan semata-mata kerana Allah SWT dia terselamat daripada dua perkara iaitu terselamat daripada neraka dan terselamat daripada menjadi munafik.

Sembahyang jemaah memupuk perpaduan sesama Muslim

Sebaik-baiknya dapatlah solat fardu berjemaah ini dilakukan di masjid. Namun jika terdapat kesulitan seperti faktor pekerjaan dan sebagainya ianya boleh dilakukan bersama ahli keluarga ataupun rakan-rakan di tempat kerja.

Nabi Muhammad SAW pernah menyebut:

“Solat seorang lelaki bersama lelaki yang lain lebih elok dari solat secara bersendirian. Dan solatnya bersama dua orang lelaki lebih elok dari solat bersama seorang lelaki. Dan lebih banyak itulah yang paling disukai oleh Allah SWT.”

(Hadis riwayat Abu Daud, 554)

Solat secara berjemaah dapat memupuk kasih sayang dan perpaduan sesama Muslim. Kewajipan solat berjemaah ini sendiri diturunkan ketika umat Islam berperang dengan pihak kafir. Ini menunjukkan bahawa amalan solat berjemaah ini pastinya perlu dilakukan ketika waktu yang aman.

Marilah kita sedaya upaya menghidupkan amalan solat fardu berjemaah pada setiap masa. Berazamlah dengan bersungguh-sungguh untuk menunaikan solat berjemaah di masjid dan surau, insya-Allah.