Keluarga yang anak tidak ramai

Kehidupan Hanita Hassan 15-Sep-2020
dreamstime_s_126776527
Keluarga makin mengecil © Faiz Zaki | Dreamstime.com

Kehidupan yang makin mencabar hari ini menyebabkan ramai pasangan yang membuat keputusan hidup dalam sebuah keluarga kecil dengan satu atau dua orang anak sahaja. Tidak kurang juga yang mengambil keputusan untuk tidak mempunyai anak.  Mereka lebih rela hidup dalam keluarga yang kecil asal sahaja kehidupan lebih selesa.

Fenomena ini bukan sahaja menyumbang kepada pengecilan saiz keluarga tetapi juga meningkatkan bilangan warga tua. Berbanding ketika zaman ibu bapa kita dahulu yang mempunyai sekurang-kurangnya enam ke 10 orang anak dan tidak kurang juga yang mempunyai sehingga 15 orang anak dengan seorang ibu.

Persoalannya bagaimana ibu bapa kita pada zaman dahulu boleh mengurus anak yang ramai sedangkan cabaran ketika itu juga sama sahaja seperti cabaran yang berlaku pada hari ini. Malahan, dahulu hanya lelaki sahaja yang keluar mencari nafkah dan isteri duduk di rumah mengurus rumah tangga.  Tidak pula timbul masalah tidak cukup makan kerana pendapatan kecil.

Hari ini suami isteri terpaksa keluar bekerja siang malam demi menampung perbelanjaan harian dan tuntutan keperluan yang semakin meningkat.  Tidak kurang juga yang melakukan lebih daripada satu pekerjaan untuk menampung keperluan hidup.  Keluar sebelum matahari terbit dan pulang semula ke rumah setelah matahari tenggelam.

Hujung minggu juga sibuk menghadiri jemputan kenduri kendara atau melakukan perniagaan separuh masa seperti perniagaan jualan langsung atau MLM, hartanah dan insuran.  Waktu cuti banyak dihabiskan di luar sehingga tidak mampu mengurus kebajikan anak khususnya soal emosi mereka.

Justeru, ramai yang merancang dua atau tiga anak sudah memadai untuk zaman sekarang kerana  kos  membesarkan anak semakin tinggi selain masa yang terhad.  Ada juga sesetengah pendapat yang menyatakan bahawa tidak boleh melihat kepada kuantiti tetapi nilai melalui kuantiti.

Sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud:  “Dan janganlah kamu membunuh anak-anakmu kerana takut miskin.  Kamilah yang akan menanggung rezeki mereka dan juga (rezeki) bagimu.”  (Surah Al-Israa, ayat 31)

Luasnya rahmat Allah SWT kepada makhluk-Nya sehingga setiap kelahiran dan setiap ciptaan lahir bersama jaminan rezeki agar kita tidak perlu lagi bimbang akan soal rezeki.

Firman Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan tiadalah sesuatu pun daripada makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jugalah yang menangggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan.  Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang  nyata (kepada malaikat yang berkenaan).”  (Surah Hud, ayat 6)

Dalam riwayat al-Bukhari r.a, Rasulullah SAW pernah berdoa yang bermaksud: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung dengan-Mu daripada kefakiran, kekurangan, kehinaan dan daripada menzalimi orang lain atau dizalimi oleh orang lain.”

Ramai yang tidak sedar untuk jangka masa panjang, keputusan merancang keluarga akan memberi kesan yang cukup besar kepada sesebuah negara apabila jumlah penduduk dalam kalangan sebaya anak makin mengecil.  Akibatnya negara akan dipenuhi dengan orang tua.  Dengan keyakinan bahawa rezeki itu ditetapkan oleh Allah SWT, maka ia boleh menyelamatkan kita daripada berasa bimbang.

Justeru, rancanglah kehidupan anda dengan baik.  Usah terlalu bimbang dengan kos hidup sehingga menyebabkan anda terhalang melakukan kebaikan seperti takut berkahwin yang merupakan sunnah Rasulullah SAW, serta bimbang memiliki anak yang ramai.

Tawakallah kepada Allah SWT setelah anda berusaha. Sesungguhnya Islam itu indah yang mengajar keseimbangan antara tawakal dan usaha.