Kematian orang tersayang

Doa 22 Dis 2020 Hanita Hassan
Terkini oleh Hanita Hassan
Kematian orang tersayang
Kematian orang tersayang © Artinun Prekmoung | Dreamstime.com

Kematian orang tersayang – Sememangnya kematian orang tersayang adalah suatu hal yang sangat menyedihkan. Sebagai manusia biasa, sudah tentu anda akan melalui fasa ini dalam kehidupan.

Namun, anda harus berusaha untuk kekal fokus agar dapat berfikir dengan betul berdasarkan apa yang diajar oleh Islam.

Kematian orang tersayang – hidup adalah sementara

Allah SWT berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Iaitu – orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan ‘Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji’uun.”

(Surah al-Baqarah, ayat 156)

Sesungguhnya hidup ini adalah sementara. Tidak seperti kehidupan di akhirat, kehidupan di dunia tidak kekal. Setiap kali anda berasa kehilangan atau keliru dengan apa yang berlaku, ingatlah bahawa ia bersifat sementara sahaja. Tidak ada suatu pun di dunia ini yang bertahan, sama ada kebahagiaan mahupun kesusahan.

Kesedihan adalah peringatan untuk anda menggunakan masa  dengan sebaik-baiknya dan tidak mempersiakannya. Anda hargai masa dengan perkara berfaedah.  Contohnya, mungkin anda perlu bersedekah dengan lebih banyak tetapi anda tidak melakukannya dahulu. Atau mungkin anda ingin menceburkan diri sebagai sukarelawan dan lebih banyak menghulurkan bantuan kepada masyarakat.

Apabila dalam kesedihan, anda berpeluang merenung kembali kehidupan dan memperbaiki diri sebagai seorang yang beriman kepada Allah SWT. Mungkin anda dapat meluangkan masa melakukan ibadah dengan lebih panjang berbanding daripada biasa.  Hakikatnya setiap daripada kita akan meninggalkan dunia ini suatu hari nanti.

Sepertimana Allah SWT berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati.”

(Surah al-i ‘Imran, ayat 185)

Kehilangan harus jadikan anda meletak kebergantungan hanya kepada-Nya

Apakah yang mengikat anda dalam kehidupan ini. Anda mungkin mengasihi orang yang tersayang, tetapi anda tidak boleh terikat kepada mereka, orang lain, atau apa sahaja daripada kehidupan di dunia ini.

Percayalah bahawa suatu hari nanti pasti semua yang menjadi milik anda akan pergi dan sekiranya anda terikat dengan mereka ia akan memudaratkan. Daripada renungan ini, anda akan bertambah yakin dan dapat menghadapi cabaran masa hadapan dengan lebih berani.

Apabila anda berasa sedih di atas kehilangan orang tersayang, anda akan mula menyedari bahawa anda hanya ada Allah SWT sebagai tempat untuk berharap. Kerana Dialah yang pernah, sedang dan akan selalu bersama. Oleh itu, ujian kehilangan ini harus menjadikan anda meletak kebergantungan hanya kepada-Nya dan lebih dekat dengan Allah.

Anda tentu memikirkan keadaan orang tersayang walaupun mereka telah pergi meninggalkan anda.  Tentang bagaimana keadaan mereka dan  hari akhirat.  Keadaan ini akan mendorong anda untuk lebih berhati-hati terhadap setiap perbuatan anda.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu daripada permulaan.”

(Surah adh-Dhuhaa, ayat 4)