Kembangkan potensi diri anda!

Psikologi Hannan
Hannan
Kembangkan potensi diri anda!
Kembangkan potensi diri anda! © Jakub Jirsák | Dreamstime.com

Walaupun kita telah menemui kerjaya sendiri atau sedang belajar di dalam bidang yang digemari, kita tidak dapat lari daripada rasa ragu terhadap diri sendiri.

Malah, ada juga orang yang dikategorikan di dalam kumpulan berjaya, namun masih lagi tidak yakin terhadap potensi diri.

Apa maksud potensi diri?

Sebelum kita bercakap lebih lanjut mengenai potensi diri, kita haruslah mengetahui maksud sebenar disebalik perkataan tersebut.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka, potensi bermaksud kemampuan seseorang untuk mencapai, menghasilkan, atau melakukan sesuatu untuk berkembang maju.

Walau bagaimanapun, potensi diri tidak boleh dicapai dengan cara berdiam diri. Ada banyak perkara yang perlu dilakukan dan dikorbankan untuk menyerlahkan potensi diri masing-masing.

Bak kata pepatah, belakang parang kalau diasah akan menjadi tajam juga!

Serlahkan potensi diri anda

Pernahkah anda ingin belajar atau melakukan sesuatu, namun diri sendiri menjadi penghalang? Sebagai contoh, pasti ada di antara kita yang lebih suka untuk ‘menangkan’ rasa malas dan suka menangguh-nangguh kerja.

Sebenarnya, kita semua mempunyai banyak potensi dalam diri yang mungkin belum terserlah. Satu-satunya perkara yang menghalang diri kita daripada mencapai kejayaan tidak lain dan tidak bukan merupakan diri kita sendiri.

Perbuatan ini bukan sahaja tidak bermanfaat, ia juga akan membuatkan kita kekal di takuk lama. Untuk mencapai kejayaan, pertama sekali kita haruslah sanggup berkorban masa dan tenaga.

Di bawah, kami kongsikan beberapa tip untuk rujukan anda:

1. Ambil langkah pertama

Niat untuk berubah merupakan langkah yang penting untuk mengembangkan potensi diri. Walau bagaimanapun, niat sahaja tidak cukup untuk membuatkan kita berjaya.

Sebaiknya, cuba lakukan sesuatu seperti membaca buku atau belajar mengenai topik yang digemari pada waktu senggang. Ada banyak blog, buku, laman sesawang dan juga podcast yang bagus dan boleh dijadikan rujukan untuk mengembangkan potensi diri anda.

2. Buat jadual dan tentukan matlamat

Pastikan setiap perkara yang anda lakukan mempunyai matlamat yang tersendiri. Sebagai contoh, jika anda ingin belajar mengenai bidang hartanah, cuba ikuti seminar atau tonton video yang berkait rapat dengan bidang tersebut.

Selain itu, untuk mengelakkan anda ‘burn-out’, pastikan anda buat jadual ringkas untuk pastikan diri anda kekal fokus.

Walau bagaimanapun, pastikan jadual tersebut realistik. Elakkan bekerja terlalu kuat dan lebih masa. Anda juga memerlukan masa berseorangan dan juga bersama ahli keluarga anda.

3. Terima kegagalan seadanya

Kadangkala, kegagalan bukanlah sesuatu yang kita dapat elakkan. Namun, itu juga bukanlah bermaksud anda tidak berjaya. Di dalam setiap kegagalan, ada ruang untuk kita belajar perkara yang baharu.

Oleh sebab itu, jangan biarkan kegagalan dan kesilapan yang anda pernah lakukan menjadi titik noktah kepada perjuangan anda. Mana tahu, kegagalan ini dapat membantu anda mengembangkan sayap pada masa hadapan!

4. Raikan kejayaan

Jika anda berjaya, tahniah! Raikan kejayaan tersebut bersama teman atau keluarga anda. Dengan cara ini, anda dapat memastikan diri anda kekal bersemangat dalam mengejar cita-cita.

5. Teruskan berdoa dan jangan putus asa

Mungkin sukar untuk kita mencapai cita-cita dan menyerlahkan potensi diri masing-masing. Walau bagaimanapun, jangan lupa untuk mengiringi semua usaha yang telah dilakukan dengan doa.

Sebagai seorang hamba, kita haruslah ingat sebaik-baik tempat bergantung adalah pada Allah SWT sebagaimana firmannya yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang bila disebut nama Allah gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.”

(Surah al-Anfal, ayat 2)

Enjoy Ali Huda! Exclusive for your kids.