‘Kembar’ Will Smith Dalam Gemini Man

Filem : Gemini Man

Klasifikasi : P13

Tarikh Tayangan : 10 Oktober 2019

Genre : Aksi / Fiksyen

Dibintangi oleh : Will Smith, Mary Elizabeth Winstead, Clive Owen, Benedict Wong

Ulasan :

Jika anda sukakan filem aksi atau fiksyen, Gemini Man boleh dijadikan pilihan di hujung minggu ini. Diarahkan oleh Ang Lee, filem ini pasti tidak mengecewakan biarpun plot penceritaan agak perlahan.

Jika ingin dibuat perbandingan, Gemini Man mungkin punya persamaan dengan filem-filem Hollywood lain seperti Mission Impossible dan Bourne Series yang memperlihatkan agen kerajaan yang akhirnya menjadi buruan setelah menjadi mangsa konspirasi.

Secara ringkasnya, Gemini Man mengisahkan tentang Henry Brogan (Will Smith), seorang pembunuh upahan yang memutuskan untuk meninggalkan kerjayanya, namun segalanya berubah apabila misinya yang terakhir menimbulkan konflik.

Henry mendapat tahu dia telah membunuh orang yang ‘baik-baik’ demi menutup rancangan jahat yang turut membabitkan kerajaan. Perasan ingin tahu telah mengheret Henry kepada konflik yang lebih besar sehingga dia terpaksa melupakan Hasrat untuk bersara buat seketika. Ini kerana Henry mula menjadi buruan Clay Verris (Clive Owen), orang yang bertanggungjawab mewujudkan projek Gemini Man.

Berikut fakta-fakta menarik tentang Gemini Man:-

1) Idea untuk menghasilkan Gemini Man bermula sejak tahun 1997 lagi. Namun, hanya pada tahun 2017 ia dapat direalisasikan. Itupun selepas Skydance Media membeli hak cipta penyiaran daripada Disney.

2) Will Smith yang membawakan dua watak berbeza iaitu sebagai Henry Brogan dan Junior, versi dirinya yang lebih muda. Wajah dan susuk tubuh Will yang muda dihasilkan menggunakan teknologi De-aging di mana hasil visual kelihatan cukup realistik dan meyakinkan.

3) Adegan kejar-mengejar di antara Henry Brogan dan Junior merupakan adegan yang paling menyerlah untuk filem yang berdurasi satu jam 57 minit ini.

4) Buat pertama kalinya Malaysia berkesempatan menyaksikan filem 3D dengan 60 frames sesaat.

5) Oleh kerana ura-ura untuk menghasilkan filem ini dari tahun 1997 lagi, ada banyak nama-nama yang disebut-sebut untuk menggalas watak utama iaitu Harrison Ford, Mel Gibson, Clint Eastwood, dan Sean Connery.

6) Filem ini menelan belanja sebanyak USD138 juta di mana tempoh penggambarannya mengambil masa selama tiga bulan iaitu dari Februari hingga Mei 2018.

7) Biarpun ramai yang memuji kesan visual, namun skrip filem ini menerima ulasan yang tidak baik daripada pengkritik filem.

8) Laman web analisis filem, Rotten Tomatoes memberi nilai 4.7 bintang daripada 10 bintang untuk filem yang tayangan perdananya dilakukan di Zurich Film Festival pada 1 Oktober lalu. Nilai ini berdasarkan kritikan-kritikan yang terima di laman web terbabit.

Foto: United International Pictures