Kembara Ekopelancongan Di Suncheon, Korea Selatan

Bagi yang pernah menjejakkan kaki ke Korea Selatan, pasti ada yang telah jatuh cinta kepada keindahan dan keterujaan yang dirasai apabila berada di negara tersebut.

Buat pencinta alam semula jadi, pasti anda tidak akan melupakan keindahan Pulau Jeju yang menyajikan pemandangan menyejukkan mata serta kedinginan salji memutih berlatarbelakangkan tasik dan pepohon yang tersusun di sepanjang jalan di Pulau Nami.

Untuk yang gemar melihat kehidupan warga kota pula, pastinya anda dapat mengingati perasaan teruja ketika berjalan-jalan membeli-belah di MyeongDong dan mencuba pelbagai jenis makanan jalanan di situ selepas tersesat turun naik di stesen tren yang salah.

Dengan kesemua pengalaman itu, pasti ada antara anda yang terasa ingin mengunjungi ‘bumi kimchi’ itu buat kali kedua atau ketiga, dengan menyasarkan lokasi-lokasi baharu yang belum diterokai.

Justeru itu, untuk lawatan anda yang seterusnya, apa kata anda cuba mengembara ke Suncheon, sebuah bandar barat daya yang terkenal sebagai pusat ekologi Korea Selatan, yang terletak kira-kira 415 kilometer di bahagian selatan Seoul.

Bertepatan dengan pelancaran kempen ‘Tahun Melawat Suncheon’ pada tahun ini, anda berpeluang menerokai pelbagai lokasi menarik yang menyajikan pemandangan ekologi.

 

Budaya Tradisional di Tokong Seonam

Terletak di wilayah Jeolla Selatan, Suncheon terkenal dengan Rizab Tanah Lembap Suncheon Bay serta rizab-rizab yang kaya dengan ekologi lain dan aset-aset budaya tradisional termasuk Tokong Seonam.

Terletak di Gunung Jogye, Tokong Seonam disenaraikan sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO pada bulan Jun tahun lalu.

Ia terkenal dengan Jambatan Seungseon yang ditetapkan sebagai Khazanah Kebangsaan No. 400 dan dikatakan merupakan jambatan batu lengkung yang paling cantik di Korea.

 

Rizab Tanah Lembap Suncheon Bay

Suncheon meraih kemasyhuran antarabangsa pada tahun 2006 apabila Suncheon Bay, kawasan tanah lembap pantai yang mempunyai daratan pasang surut yang luas, padang rumput serta habitat untuk burung-burung berhijrah, menjadi tanah lembap pantai Korea pertama yang dimasukkan ke dalam senarai Ramsar bagi tanah lembap yang dilindungi.

Pada tahun 2018, seluruh bandar itu, termasuk Suncheon Bay dan Taman Ekologi Suncheon Bay telah ditetapkan sebagai Rizab Biosfera oleh UNESCO.

Sebelum itu, pada tahun 1990-an, Suncheon Bay merupakan kawasan tanah lembap terbiar dengan muara Dongcheon yang menempatkan padang rumput yang luas dan pelbagai organisma serta haiwan tanah lembap.

Manakala burung jenjang berhud (hooded crane), salah satu spesies yang paling terancam di Korea dan digazetkan sebagai Tugu Semula Jadi tetapan negara No. 228, mula dilihat di Suncheon Bay pada tahun 1996.

 

Sebanyak 2,176 ekor burung jenjang berhud berkunjung ke kawasan ini pada tahun lepas sahaja.

Dengan Suncheon Bay yang semakin popular sebagai destinasi ekopelancongan, semakin ramai pelancong telah berkunjung kawasan itu.

Disebabkan itu, pihak berkuasa tempatan telah menganjurkan Ekspo Taman Suncheon Bay dan mewujudkan Taman Negara Suncheon Bay, taman buatan pertama seumpamanya dan terbesar di Korea, bagi tujuan memelihara Rizab Tanah Lembap Suncheon Bay dengan lebih baik.

 

Kampung Rakyat Naganeupseong

Sementara itu, Kampung Rakyat Naganeupseong, yang ditetapkan sebagai Tapak Bersejarah No. 302 merupakan kubu kota Dinasti Joseon yang masih terpelihara dengan baik.

Ia mempunyai rumah-rumah berbumbung jerami dan tempat tinggal dengan rekaan yang berasal dari kawasan selatan, yang dapat dilihat menerusi kawasan dapur, bilik tanah liat dan beranda gaya Korea.

 

Sasar Tarik 10 Juta Pelancong

Bersempena dengan kempen ‘Tahun Melawat Suncheon’ pada tahun ini, Suncheon City Hall menyasarkan untuk menarik 10 juta pelancong ke destinasi tersebut.

Pada separuh pertama tahun ini, sebanyak 4.47 juta orang mengunjungi Suncheon, manakala Taman Negara Suncheon Bay telah menarik kira-kira 3 juta pengunjung setakat 3 Julai 2019.

Dengan pelbagai makanan tempatan yang dihasilkan dari kawasan sekitar, ia dijangka dapat menambah keterujaan pelancong yang mengunjungi Suncheon.

Ini seterusnya dapat membantu meningkatkan kemasukan pelancong pada separuh tahun kedua, sekali gus mengangkat lagi status Suncheon sebagai hab ekologi global dan ibu kota ekologi Korea Selatan.

Foto: PR Newswires & Mike Friel (Flickr)