Persekitaran Web Patuh Muslim.. Ketahuiselanjutnya

Kembara Kerjaya Nabil Ahmad

Bukan mudah untuk membuat orang ketawa dengan lawak jenaka kita.

Jika ia jarang-jarang dilakukan atau secara spontan dengan mereka yang rapat dengan kita, mungkin itu tidak menjadi masalah.

Namun, untuk mencari idea membuat jenaka di hadapan ratusan dan ribuan penonton secara ‘live’ berseorangan, ternyata tugas itu bukanlah mudah.

Mengakui ia merupakan sesuatu yang sukar, bekas juara program Raja Lawak musim kedua, Nabil Ahmad perlahan-lahan menukar ‘forte’nya daripada seorang pelawak kepada pengacara.

“Ada suatu ketika saya berasakan tertekan untuk membuat lawak.

“Bayangkan, orang menjemput saya untuk membuat lawak di majlis korporat. Dan ia bukanlah sesuatu yang mudah bagi mencari idea membuat lawak untuk majlis-majlis korporat, dan yang paling penting bagi memastikan penonton ketawa.

“Disebabkan itu, saya mula berfikir apa yang boleh saya lakukan untuk memastikan saya masih boleh berlawak, namun dalam suasana yang lebih santai,” kata Nabil yang mula berkecimpung dalam industri hiburan sejak tahun 2008.

 

Pengacara Yang Boleh Melawak

Bermula dari itu, Nabil perlahan-lahan menukar strateginya daripada bergelar seorang pelawak kepada pengacara yang boleh melawak.

“Apabila menjadi pengacara, tekanan itu sedikit kurang kerana kita sendiri yang akan mencorakkan rancangan tersebut dan kita juga yang akan membuat pengisiannya.

“Lebih memberi kelebihan buat saya adalah apabila saya boleh menyelitkan unsur lawak dalam pengacaraan.

“Dan itu, memberi nilai tambah (value added) kepada diri saya untuk menjadikan saya berbeza daripada orang lain,” ujarnya yang memulakan langkah tersebut secara perlahan-lahan dengan menerima tawaran untuk menjadi pengacara majlis daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Ternyata selepas itu, percubaannya dalam bidang pengacaraan “menjadi” apabila dia lulus dalam sesi uji bakat sebagai pengacara rancangan ‘MeleTOP’ di Astro yang dikendalikan bersama Neelofa.

Siapa sangka, rancangan bual bicara hiburan itu mendapat sambutan tinggi dalam kalangan penonton sehinggakan ia kini telah masuk tahun ketujuh selain turut mempunyai acara anugerah tersendiri iaitu Anugerah MeleTOP Era.

Bukan itu sahaja, sebuah lagi rancangan hiburan yang amat sinonom dengan Nabil adalah tidak lain dan tidak bukan, ‘Gegar Vaganza’ yang kini telah masuk musim keenam selain turut menjadi satu program hiburan yang mencetuskan fenomena di Malaysia.

“Saya tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan saya jika pengacara lain yang mengambil alih tempat saya sebagai pengacara ‘MeleTOP’ dan ‘Gegar Vaganza,’” luah Nabil yang sudah sebati dengan kedua-dua rancangan tersebut.

 

Enggan Menganggur Lagi

Pelbagai headline kontroversi, kata-kata kecaman dan sinis pernah dilemparkan kepada lelaki yang berpeluang menunaikan haji pada usia yang masih muda ini.

Ternyata, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat anak jati Negeri Sembilan ini untuk terus berjalan dan mewarnai kanvas kariernya.

Bagaimanapun, apa yang berlaku baru-baru ini terhadap kariernya seakan-akan membuatkan Nabil tersentak dan tersedar dari kealpaan agar dia sentiasa beringat untuk menyediakan payung sebelum hujan.

“Selepas 11 tahun berada dalam industri hiburan, baru-baru ini kami sekeluarga diduga apabila saya tidak mendapat sebarang tawaran kerja selama empat bulan.

“Kebiasannya, pengurus akan membentangkan pelan-pelan kerjaya saya untuk tahun yang seterusnya pada tahun sebelumnya.

“Namun, apabila saya diduga dengan tiada langsung tawaran untuk tempoh empat bulan tersebut, saya mula buntu dan ia membuatkan saya terfikir mengenai perancangan masa depan,” ceritanya yang mengakui dia hanya duduk menghabiskan masa di rumah bersama isteri dan anak-anaknya sepanjang tempoh tersebut.

“Situasi itu membuat saya tersedar yang mungkin sebelum ini saya terlalu selesa kerana perjalanan karier sentiasa lancar dan sering menerima tawaran yang tidak putus-putus sehinggakan saya lupa untuk mempunyai back up plan.

“Apabila memikirkan wang yang saya ada tidak mampu lagi menampung komitmen kami sekeluarga, saya berasakan saya perlu berbuat sesuatu sehingga munculnya idea untuk berniaga,” katanya yang telah pun memulakan perniagaannya selama sebulan setengah.

Bukan itu sahaja, Nabil kini juga sibuk menguruskan syarikat produksi, KMN Production yang ditubuhkan bersama rakan kongsinya, Datuk Khairil Muzamil Abdul Rahman.

Menjadi pencetus idea dan direalisasikan oleh Khairil, Nabil selesa untuk duduk di kerusi penerbit dan melakukan kerja-kerja di belakang tabir.

 

Isteri dan Anak-Anak Penguat Semangat

Mengakui hidupnya terumbang-ambing sebelum berkahwin, Nabil melahirkan rasa syukurnya kerana dikurniakan seorang isteri yang setia menjadi pendampingnya dan boleh menerima baik dan buruknya.

“Zira seorang yang amat penyabar. Dia memahami sikap saya dan menjadi penguat semangat dalam apa yang saya lakukan.

“Malahan ketika dia mengandungkan ketiga-tiga anak kami, dia langsung tidak mengidam makanan yang pelik-pelik dan tidak ada morning sickness. Dia seorang yang mudah dijaga,” kata Nabil yang tidak henti-henti mengusik isteri jelitanya yang turut menemaninya pada sesi photoshoot pada hari itu.

Dikurniakan tiga orang puteri yang comel, Nayla Mikayla (7 tahun), Leyla Medyna (4 tahun) dan Mishall Imani (5 bulan), Nabil bersyukur atas setiap kurniaan kehidupan berkeluarga dan kerjayanya yang semakin matang.

“Selepas 11 tahun bergelar artis, saya akan terus menghiburkan peminat dan memastikan agar saya kekal relevan seiring dengan perubahan citarasa peminat industri seni tanah air,” ujar penerima anugerah Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian tahun 2008 ini.

Ditanya mengenai sisi kematangannya selepas sedekad dalam industri, pemilik nama sebenar Ahmad Nabil Ahmad ini berkata, kematangan dirinya adalah untuk ‘disimpan’ dan bukannya untuk ditunjukkan kepada orang ramai.

“Bagi saya, kematangan diri hanyalah untuk saya sendiri dan orang lain tidak perlu nampak kematangan saya itu.

“Saya lebih selesa dikenali sebagai seorang Nabil Ahmad yang lincah, nakal dan gemar menyakat kerana ia bagaikan trademark saya.

“Sebab itu saya tidak kisah bila ada orang yang menghentam saya kerana bagi saya, selagi orang bercakap tentang kita, itu bererti mereka menonton program kita dan mengambil tahu tentang diri kita,” katanya.

 

Di Sebalik Wajah Salam

  • Wajah Salam : Nabil Ahmad
  • Gambar : Bustamam Mokhtar, White Studio
  • Penyelaras & Pengurus Projek : Shah Shamshiri
  • Teks (Bahasa Melayu) : Nor Syariza Tahir
  • Suntingan : Ili Farhana
  • Penata Gaya : Faizal Harun Nasution
  • Konsep & Arahan Seni : Faizal Harun Nasution
  • Jurusolek : Jibs Salim
  • Busana : Maswira Majid
  • Serban & Jubah: Milik Penata Gaya
  • Pereka Grafik : Asyraf Tamam

 

Ingin berkata sesuatu?

Sila berhubung!

Kini, setelah 11 tahun memahat nama dalam industri, nama Nabil Ahmad masih gah dan disebut-sebut di sana sini. Ditemani sang isteri yang tetap setia di sisi, Nazirah Ayub atau lebih mesra dengan panggilan Zira, bapa kepada tiga anak ini berkongsi ceritera pengembaraan kerjayanya setelah sedekad dalam industri.