Kemenangan bagi orang yang bersabar

Kepercayaan Hanita Hassan 24-Mei-2020
Inilah hari kemenangan Muslim sedunia © Supawat Kampanna Hanakaz - Dreamstime.com

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.

Segala puji dan syukur ke hadrat Allah SWT kerana memberi kita peluang menjalani ibadah puasa selama sebulan dan menikmati pertama Syawal, detik kemenangan bagi orang yang bersabar. Semoga Yang Maha Mulia dan Sedia Memberi (Al-Karim) menerima setiap penat dan lelah kita di sepanjang bulan Ramadan.

Allah SWT berfirman melalui surah Al-Baqarah, ayat 185 yang maksudnya: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.”

Daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad SAW bersabda yang maksudnya:  “Sesiapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan ketaatan kepada Allah, serta mengharapkan keredaan-Nya, akan diampunkan semua dosanya yang telah lepas.”  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Umat Islam tidak kira miskin atau kaya menyambut Aidilfitri penuh kegembiraan dengan nikmat dan rahmat yang dilimpahi-Nya. Kita digalak melakukan beberapa perbuatan sunat seperti memperbanyakkan bertakbir dan bertahmid pada malam dan pagi hari raya.  Kita juga disunatkan mandi sunat hari raya dan menjamah makanan  sebelum keluar mengerjakan solat sunat Aidilfitri.

Dalam kita mengucapkan selamat hari raya, alangkah baik jika ditambah dengan ucapan yang diajar oleh Nabi SAW iaitu ‘Taqabbalallahu minna wa minka’ yang bermaksud ‘semoga Allah menerima amalan saya dan kamu.’

Disebut dalam sebuah riwayat yang bermaksud: “Berkata Wathilah, aku bertemu Rasulullah SAW pada hari raya dan aku katakan kepada Baginda ‘taqabballahu minna wa minka’.  Baginda menjawab, ‘Ya, taqabbalallahu minna wa minka’.” (Al-Baihaqi, rujuk perbincangan di Fath Al-Bari 2/446)

Pada pagi raya, kita juga disunatkan memakai pakaian terbaik yang kita ada. Sekiranya kita memakai baju baharu, janganlah sampai membazir tetapi seeloknya mengikut kemampuan. Pakaian juga sebaiknya yang sopan dan sederhana, juga menutup aurat.

Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud:  “Wahai anak Adam!  Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap kali kamu ke tempat ibadah (atau mengerjakan sembahyang) dan makanlah serta minumlah dan janganlah pula kamu melampau-lampau, sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas.”  (Surah al-Araf, ayat 31)

Kita juga disunatkan untuk menukar jalan ke tempat solat (pergi dan balik).  Ini berdasarkan hadis dari Jabir r.a. yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau membezakan jalan pergi dan pulang apabila di hari raya. (HR Al-Bukhari)

Amalan ziarah menziarahi juga digalakkan sebagaimana disyariatkan oleh Islam.  Inilah masa untuk kita saling bermaafan sekiranya ada sengketa atau perselisihan faham dengan adik-beradik. Ibarat kata pepatah, ‘air yang dicincang tidak akan putus.’

Nabi SAW bersabda:  “Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezeki dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya.” (HR Al-Bukhari dan Muslim).

Dalam melakukan amalan ziarah pada tahun ini, kita hendaklah mengekalkan jarak sosial selamat untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19.  Biar kita bersabar hari ini, jangan nanti menyesal di kemudian hari.

Salam Aidilfitri, Minal Aidin Walfaizin.