Kemenangan dan setem edisi Aidilfitri 2020

Suka Hanita Hassan 22-Mei-2020
Setem edisi Aidilfitri 2020 © facebook.com/PosMalaysiaBerhad

Sempena Aidilfitri 2020, Pos Malaysia telah mengeluarkan koleksi setem edisi terhad yang boleh didapati di 13 Pejabat Pos Besar seluruh negara mulai 18 Mei lepas. Setem keluaran khas ini menggabungkan elemen seni reka Islamik Arabes dan kaligrafi Kufi.

Ketua Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor dalam kenyataannya memaklumkan reka bentuk setem ini membawa maksud erti dan nilai perayaan hari raya.

Seperti ‘Kemenangan’ menghadapi dugaan di bulan Ramadan dan keadaan yang mencabar, serta ‘Kesyukuran’ atas segala kurniaan semasa bulan yang mulia ini. Manakala ‘Keikhlasan’ mencerminkan sifat jujur di dalam semua perkara terutama ketika berdepan tempoh sukar.

Koleksi ini dicetak sebanyak seribu lembaran, dijual pada harga RM25 dengan setiap helaian setem mempunyai nilai muka 60 sen.

Aidilfitri ini disambut berbeza kerana penularan pandemik COVID-19 menyebabkan ramai yang tidak boleh pulang berhari raya.  Justeru, kebanyakan kita menggunakan khidmat Pos Laju dan Mel mengepos pelbagai bungkusan untuk keluarga dan orang tersayang.

Sifat memberi amat digalakkan dalam Islam.  Pemberian itu bukan sahaja dilihat dari sudut material semata-mata, malah turut terpakai dari sudut ilmu, iman dan takwa. Ramai dalam kalangan kita yang berjaya dalam hidup kerana banyak memberi.

Sejarah hidup Rasulullah SAW membuktikan bahawa baginda sanggup mengorbankan tenaga dan harta demi umatnya.  Sifat memberi Baginda bukan sahaja semasa senang tetapi juga ketika susah.  Setiap pemberian diberi tanpa berasa sedikit pun kekurangan.

Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak berlalu hari-hari yang tatkala manusia berpagi-pagi melainkan turun dua malaikat dan satu malaikat berdoa:  “Ya Allah, berilah ganti kepada orang yang membelanjakan (iaitu menderma atau menyedekahkan (iaitu menderma atau menyedekahkan) hartanya.  Kemudian malaikat yang kedua berdoa:  “Ya Allah, binasakanlah harta orang yang bakhil.”  (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Justeru kita hendaklah sentiasa berusaha bersifat pemurah.  Allah SWT memberikan kita harta, maka sebahagiannya perlu disedekahkan.  Begitu juga Allah SWT kayakan kita dengan ilmu pengetahuan dan dengan nikmat itu kita berkongsi ilmu dengan mengajar kepada orang lain serta berdakwah kepada masyarakat.

Sempena Aidilfitri, gunakanlah peluang ini untuk menghantar sesuatu kepada ibu ayah, adik-beradik atau sahabat handai sebagai pengganti diri kerana tidak dapat berhari raya bersama-sama.

Ketika ini ucapan hari raya melalui kad raya juga kembali popular. Ia menjadikan masyarakat  kembali ke era 90-an sebelum internet dan media sosial menjadi keutamaan dalam kehidupan.  Pandemik COVID-19 seolah-olah memberi peluang kepada kita untuk memugarkan semula nostalgia lama.

Semoga hari raya ini lebih bermakna kepada kita semua berbanding hari raya pada tahun-tahun yang lalu.  Marilah kita menambah kebaikan dalam diri serta menyebar dan memberi kebaikan kepada semua.