Kementerian Dalam Negeri (KDN) lancar pelan pastikan Malaysia bebas pendatang asing tanpa izin (PATI)

Uncategorized MAS 30-Dis-2019
KDN, PATI
© Tktktk | Dreamstime.com

Pelan Holistik Penguatkuasaan Pendatang Asing Tanpa Izin akan dilancarkan pada tahun hadapan. Pelan berkenaan bertujuan memerangi masalah kebanjiran pendatang tanpa izin di negara ini secara komprehensif. Menerusi langkah memperkukuh tadbir urus dan menambah baik sistem kerja penguatkuasaan sedia ada, pelan tersebut akan memastikan Malaysia mencapai pendatang tanpa izin sifar dalam tempoh ditetapkan.

Menteri Dalam Negeri menerangkan pelan holistik yang dirangka KDN itu melibatkan kerjasama strategik antara pelbagai kementerian dan agensi berkaitan. Ia berteraskan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dan tindakan yang lebih berkesan. Tan Sri Muhyiddin Yassin juga menganggap isu kebanjiran PATI harus ditangani dengan penguatkuasaan dan tindakan undang-undang lebih tegas. Perkara ini perlu agar senario berkenaan tidak berterusan menjadi isu nasional yang membawa impak negatif terhadap aspek sosial dan perundangan negara.

Menerusi pelan lima tahun berkenaan, KDN berhasrat supaya tahap keberadaan PATI menurun setiap tahun. Tindakan akan dilaksanakan sehingga tahap di mana tiada lagi pekerja asing bekerja tanpa izin di Malaysia. Pelan tersebut melibatkan peranan kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung.

Lima strategi yang dibentangkan adalah strategi operasi penguatkuasaan, strategi perundangan dan dasar serta strategi kawalan sempadan dan pintu masuk. Dua lagi strategi adalah strategi pengurusan warga asing dan strategi berkaitan media dan publisiti.

Menurut Muhyiddin lagi, program pemutihan atau ‘amnesty’ kepada PATI tidak akan ditawarkan seperti amalan sebelum ini dengan pelancaran pelan berkenaan. Program pemutihan memberi isyarat salah kepada PATI bahawa mereka boleh masuk dan berada di Malaysia kerana mereka akan ‘diputihkan’ akhirnya, tambah beliau.