Kementerian Kesihatan bincang kemungkinan kawal kemasukan pelancong dari China

Kesihatan Adea Ghafar 24-Jan-2020
Novel coronavirus (2019-nCoV)
Novel coronavirus (2019-nCoV) By Source, Fair use, Link

Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan Malaysia akan mengadakan perbincangan dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri mengenai cadangan langkah-langkah kawalan kemasukan pelancong khususnya dari China bagi menangani penyebaran wabak coronavirus. Beliau mengumumkan perkara itu di sidang media di Putrajaya ketika mengulas tentang pertimbangan kerajaan mengenai sekatan terhadap kemasukan pelancong China.

Semalam, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China telah mengesahkan sejumlah 1,287 kes coronavirus di China dan setakat hari ini, wabak coronavirus di China telah membunuh 41 orang. Semua kes maut berlaku di Wuhan, ibu kota wilayah Hubei yang menjadi tempat virus itu mula tersebar. Hampir semua penerbangan ke bandar tersebut dibatalkan dan sekatan di jalan-jalan keluar utama turut diadakan.

Pada keadaan tertentu, coronavirus boleh mengakibatkan kematian akibat serangan pneumonia. Simptom virus tersebut termasuk demam, batuk dan kesukaran bernafas. Kini, 1,300 orang telah dijangkiti virus itu di seluruh dunia dengan kes kematian hanya berlaku di China. Coronavirus dilaporkan turut dikesan di Thailand, Vietnam, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Nepal, Perancis dan Amerika Syarikat.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengesahkan kes pertama jangkitan novel coronavirus (2019-nCoV). Ia melibatkan tiga warga China yang mempunyai kaitan dengan dua warga China lain yang disahkan positif coronavirus di Singapura beberapa hari lalu. Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri telah dimaklumkan mengenai tiga kes jangkitan coronavirus ini. Sementara itu di Hospital Kuala Lumpur, seorang warga Malaysia yang mengunjungi China baru-baru ini sedang ditahan di situ namun belum disahkan dijangkiti virus.

Di Kedah, Dato’ Dr. Ismail Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri berkata, Kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah ditugaskan untuk memantau pintu-pintu masuk sempadan. Bagi mengekang penularan coronavirus, kerajaan negeri Kedah juga telah memperketatkan pemeriksaan melalui kaunter imbasan terma di pintu-pintu masuk sempadan, termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.