Kementerian Pelancongan tawar pemandu pelancong kursus percuma

Kehidupan Ahmad Mahmud 27-Apr-2020
Pemandangan indah di Langkawi © Hon Chung Ham | Dreamstime.com

Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) akan menawarkan kursus dalam talian percuma kepada semua pemandu pelancong yang berhasrat untuk memperbaharui lesen mereka.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof berkata, kursus jangka pendek itu akan melibatkan langkah dan rancangan yang boleh diambil oleh pemandu pelancong untuk mempromosikan perkhidmatan pelancongan di bawah norma baru berikutan wabak COVID-19.

Musa ditemui semasa wawancara dalam program Ruang Bicara terbitan TV Bernama, bertajuk ‘Promosi Pelancongan Normal Baru Pasca-COVID-19’. Menurutnya, MOTAC  akan mengajar para pemandu pelancong untuk menghasilkan video cuitan (teaser) di platform masing-masing.

Ini termasuk di media sosial, dengan menggunakan kepakaran mereka dalam bercerita tentang tempat-tempat pelancongan sehingga dapat mendorong pelancong untuk mengunjungi tempat-tempat tersebut setelah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan atau dilonggarkan.

Walau bagaimanapun, mekanisme kursus dan tarikh permulaan belum diputuskan. Menurut MOTAC, ini akan melibatkan pelbagai pihak, termasuk Institut Latihan Pelancongan dan Persatuan Pemandu Pelancong.

Sementara itu, Musa mengatakan pertandingan untuk menghasilkan video pelancongan dengan hashtage #dreamnowtraveltomorrow akan dilanjutkan sehingga 12 Mei berikutan sambutan baik dari orang ramai dalam tempoh PKP. Maklumat lanjut boleh didapati di www.malaysia.travel

Melalui pertandingan penghasilan video kreatif dengan menggunakan lagu berjudul Cuti-cuti Malaysia atau Visit Malaysia Truly Asia, para peserta berpeluang untuk memenangi pelbagai pakej pelancongan domestik.